Indonesia henti eksport nikel mulai Januari 2020 


Pemandangan lombong di Indonesia. Negara itu mengeksport sebanyak 38 juta tan nikel dan negara mempunyai potensi rizab sebanyak 2.8 bilion tan metrik yang perlu diterokai.– Gambar EPA, 3 September, 2019.

KEMENTERIAN Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia pada 2 September mengumumkan negara itu akan menghentikan eksport nikel bermula 1 Januari tahun depan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Ia bertujuan untuk meningkatkan kajian mengenai logam domestik berikutan kebimbangan terhadap rizab bahan itu yang terhad.

Tarikh itu dua tahun lebih awal berbanding pelan awal iaitu pada Januari 2022.

Menurut pengarah di kementerian berkenaan Bambang Gatot Ariyono, Indonesia mempunyai rizab nikel sekitar 698 juta tan, yang boleh bertahan selama tujuh hingga lapan tahun lagi.

Katanya, untuk tempoh Januari hingga Julai tahun ini, Indonesia mengeksport sebanyak 38 juta tan nikel dan negara mempunyai potensi rizab sebanyak 2.8 bilion tan metrik yang perlu diterokai.

Tahun lepas, Indonesia merupakan pengeluar nikel terbesar dunia dengan keluaran sebanyak 560,000 tan. Pengeluaran purata negara dijangka berkembang 8.1 peratus dalam tempoh 2018 hingga 2027, mengatasi semua negara pengeluar di dunia seperti Filipina dan Kanada.

Bagaimanapun, eksport utama ialah bijih nikel mentah berbanding produk seperti bateri atau kepingan keluli tahan karat.

Bambang berkata larangan eksport bijih nikel sejajar dengan pelan nasional untuk mempercepat penubuhan kilang melebur besi supaya Indonesia boleh menjual produk nikel yang telah ditambah nilai.

Beliau berkata Indonesia memerlukan 81 juta tan bijih nikel setiap tahun, ia kini mempunyai 11 kilang dan merancang untuk membina 25 lagi. – Bernama, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen