Indonesia larang warga asing ke Papua


Menteri Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Wiranto (tengah) berkata Indonesia mengehadkan jumlah warga asing ke Papua faktor keselamatan. – Gambar AFP, 3 September, 2019.

KERAJAAN Indonesia hari ini melarang warga asing melawat Papua yang sedang bergolak selepas empat rakyat Australia diusir kerana didakwa terlibat dalam rusuhan di wilayah bergolak itu.

Menteri Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata negara itu akan mengehadkan jumlah warga asing ke wilayah yang terkenal dengan kecantikan pantainya itu atas faktor keselamatan.

“Buat masa ini kami mengehadkan (akses ke Papua),” kata Wiranto kepada pemberita di Jakarta, hari ini.

Tetapi ini tidak bermakna kami tidak benarkan semua orang ke sana. Akan disaring atas faktor keselamatan.”

Tidak dipastikan sama ada larangan tersebut juga dikenakan ke atas wartawan asing.

“Ini untuk melindungi warga asing daripada menjadi mangsa rusuhan.

“Sukar untuk membezakan warga asing untuk terlibat rusuhan dengan mereka yang datang untuk melancong,” tambah beliau.

Menteri itu turut menegaskan kerajaan menolak sebarang rundingan mengenai kemerdekaan Papua.

“Pintu rundingan mengenai referendum ditutup.” – AFP, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen