Mayat ditemui di dasar tasik Thailand sah milik aktivis hilang


Por Cha Lee Rakcharoen atau lebih dikenali sebagai 'Billy' (kiri) ditahan oleh pihak berkuasa tempatan pada April 2014 semasa dalam perjalanan menemui penduduk etnik Karen di taman negara Kaeng Krachan. – Gambar Facebook, 3 September, 2019.

TULANG hangus milik aktivis komuniti yang hilang di Thailand lebih lima tahun lalu ditemui di dasar tasik sebuah taman negara, kata penyiasat pada Selasa, mengesahkan kematiannya buat kali pertama.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan 30 aktivis hilang atau dibunuh di Thailand sejak 2001, dan negara itu dianggap sebagai antara negara paling bahaya di Asia bagi pembela alam sekitar.

Pemimpin daripada etnik Karen, Por Cha Lee Rakcharoen atau lebih dikenali sebagai “Billy” ditahan oleh pihak berkuasa tempatan di pusat pemeriksaan pada April 2014 semasa dalam perjalanan menemui penduduk Karen yang mendakwa pegawai memusnahkan rumah mereka di taman negara Kaeng Krachan.

Pegawai kemudian berkata beliau disiasat kerana mengumpul madu secara haram tetapi dibebaskan.

Penyelam menemui mayatnya di dasar tasik taman negara yang sama pada April tahun ini, dan mengidentifikasi tulang menggunakan DNA daripada ibunya.

“Kita boleh menganggap Billy sudah mati, kerana tulang ini diambil daripada mayatnya,” kata Korawat Panprapakorn, timbalan ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), kepada pemberita.

Satu tulang ditemui dalam sebuah tong minyak manakala yang lain di sekitar tasik.

Karen adalah minoriti etnik di Myanmar tetapi ramai yang melarikan diri daripada seksaan tentera ke Thailand.

Unit penyiasatan khas itu berkata terdapat suspek dalam kes itu tetapi tidak memberi butiran lanjut.

Ia juga berkata penemuan itu dibuat selepas menyoal penduduk tempatan dan menjalankan tinjauan kawasan yang terletak di selatan Thailand.

Kes kehilangan aktivis tanpa sesiapa dihukuman adalah perkara biasa di Thailand.

Terdapat sekurang-kurangnya 82 kes kehilangan paksa di negara ini sejak 1980 mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Penemuan mayat Billy kini harus mendorong pihak berkuasa Thai meningkatkan usaha mereka untuk mendedahkan kebenaran demi keluarganya,” kata Sunai Phasuk, penyelidik kanan Thailand yang bertugas dengan Human Rights Watch. – AFP, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen