TIADA sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Ketua Umno Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein walaupun tindak tanduk beliau menjadi ‘perbualan’ ahli-ahli parti, kata sumber.
Menurut sumber, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik Umno yang diadakan pada hujung Julai lalu.
“Pimpinan parti tiada mengeluarkan sebarang arahan supaya Hishammuddin disiasat. Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik sebelum ini.
“Biro Politik sudah memutuskan tiada disiplin terhadap Hishammuddin. Kalau hendak buat siasatan terhadap Hishammuddin, sudah lama dibuat. Bukan baharu orang dakwa Hishammuddin macam-macam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahad lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas bekas naib presiden parti itu atas aduan salah laku.
Menurut Apandi, perincian mengenai tindakan Lembaga Disiplin Umno itu hanya akan dimaklumkan apabila siasatan selesai.
Kenyataan Apandi itu mengejutkan kepemimpin tertinggi Umno kerana mereka tidak mempunyai sebarang maklumat siasatan terhadap Hishammuddin oleh lembaga disiplin parti.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menjelaskan Lembaga Disiplin Umno merupakan badan bebas dan bukan sebahagian daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Masih ada yang kurang faham bagaimana sistem lembaga disiplin dalam Umno berfungsi. Lembaga disiplin satu badan bebas. Ia bukan sebahagian dari MKT.
“Ada kes dirujuk oleh Umno ada dimulakan oleh lembaga disiplin, jika aduan terus kepada mereka. Bagi kes dikaitkan dengan Hishammuddin, Umno tidak menerima sebarang aduan,” katanya melalui Twitter.
Sementara itu, seorang lagi sumber berkata lembaga disiplin perlu mengambil tindakan kerana tindakan-tindakan Hishammuddin yang meragukan itu telah diperkatakan oleh-oleh ahli-ahli parti sejak sekian lama.
“Bukan baru tindak tanduk Hishammuddin dipersoalkan tetapi sejak pemilihan parti tahun lepas lagi. Lembaga disiplin perlu buat sesuatu sebab ramai yang bertanya kenapa tiada sebarang tindakan, sekurang-kurangnya menyiasat perkara itu.
“Sebagai pengerusi lembaga disiplin, bila melihat sesuatu yang tidak sihat untuk parti, dia kena ambil tanggungjawab untuk siasat perkara itu.
“Kalau senyap, pastinya integriti beliau akan tercemar sebab tidak buat kerja. Menjalankan siasatan tidak bermakna orang yang disiasat itu sudah bersalah,” kata sumber.
Tambah sumber, tindakan Apandi ini membuktikan Umno sudah berubah dan struktur pemisahan kuasa ini adalah usaha parti untuk memberikan imej yang terbaik kepada ahli dan juga rakyat.
Apandi ketika dihubungi The Malaysian Insight semalam menegaskan beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno dan tidak terikat dengan mana-mana arahan untuk menjalankan siasatan.
“Kita melangkaui politik. Lembaga Disiplin ini macam hakim dan kita tidak main politik. Kita siasat tidak kira siapa,” tegasnya.
Tindakan Hishammuddin Hussien sejak Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 menyebabkan kesetiaannya dipersoalkan sehingga bekas presiden Umno Najib Razak terpaksa mengumumkan sepupunya itu setia dan akan kekal dengan Umno sebelum ini.
Perkara ini termasuklah gambar percutian beliau bersama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Maghribi hujung Disember lalu yang dimuat naik oleh salah seorang anak Azmin dalam Instagram beliau.
Percutian bersama kedua-dua keluarga itu menimbukan pelbagai spekulasi disebabkan Hishammudin dan Azmin dilihat rapat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan terdapat laporan yang menyatakan kedua-dua pemimpin itu bakal menyertai Bersatu untuk survival politik masing-masing.
Selain itu, Hishammuddin juga sering mengadakan pertemuan sulit dengan Dr Mahathir yang mana ia merupakan tindakan yang dilihat membelakangi kepimpinan parti yang diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Hishammuddin juga dikaitkan dengan ‘tangan ghaib’ susulan daripada tindakan besar-besaran ahli Parlimen Umno keluar parti tahun lalu.
Hishammuddin menafikan menjadi dalang namun bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan ada ‘bangsawan’ yang mendorong kepada tindakan mereka keluar parti, dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden Umno itu.
Seramai 17 orang ahli Parlimen Umno telah keluar parti di mana sebahagian besar daripadanya menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. – 3 September Ogos, 2019.
Komen