LOW Taek Jho memberi surat sokongan dari pelbagai entiti untuk menunjukkan bahawa usahasama 1MDB dengan syarikat minyak PetroSaudi International bernilai AS$2.5 bilion (RM10.5 billion) adalah sah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin ketika memberi keterangan berkata Low memberi surat antara hujung 2014 dan awal 2015 selepas laporan media mendakwa usahasama yang dijalinkan pada 2009 itu adalah palsu untuk menyeleweng dana awam.
Low mengemukakan surat sokongan dari duta besar Malaysia ke Arab Saudi yang tidak dinamakan, JP Morgan dan firma pengurusan harta Helvetica.
Surat-surat tersebut ada hubung kait dengan PetroSaudi.
Low juga mengemukakan surat rujukan yang menurutnya dari pihak berkuasa perbankan Arab Saudi yang dihantar kepada CEO PetroSaudi Tarek Essam Ahmad Obaid.
Menurut Amhari, surat-surat bertarikh 2010 hingga 2011 itu mendakwa PetroSaudi adalah sebuah firma yang sah.
Surat-surat tersebut adalah antara dokumen yang disediakan oleh Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low untuk mengawal isu 1MDB yang dilaporkan media dengan meluas ketika itu, termasuklah The New York Times, The Wall Street Journal and Sarawak Report, kata Amhari. – 3 September, 2019.
Komen