PRESIDEN Iran Hassan Rouhani hari ini berkata Tehran menolak sebarang rundingan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengancam komitmen terhadap perjanjian nuklear.
Rouhani di Parlimen hari ini berkata sebarang dialog dengan AS perlulah dalam kerangka kumpulan kuasa besar yang bersetuju dengan perjanjian nuklear dengan Tehran yang dibuat pada 2015.
Beliau juga berkata Iran bersedia untuk mengurangkan komitmen terhadap perjanjian tersebut “dalam masa beberapa hari ini” sekiranya Khamis ini tiada keputusan rundingan yang sedang berjalan dengan negara-negara Eropah.
Tehran dan Washington saling berbalah sejak Mei tahun lalu apabila Presiden AS Donald Trump menarik diri dari perjanjian nuklear dan mengenakan sekatan ke atas Iran.
Hubungan menjadi semakin keruh pada Jun apabila Iran menembak dron AS dan Trump mengarahkan serangan balas tetapi dibatalkan pada saat akhir.
Perancis menawarkan diri untuk meredakan ketegangan di mana Presiden Emmanuel Macron pada sidang G7 pada penghujung Ogos berharap untuk mengadakan pertemuan antara Rouhani dan Trump.
“Mungkin terdapat salah faham. Kami sudah katakan sebelum ini dan hari ini mengulanginya, tiada keputusan untuk rundingan dua hala dengan AS.
“Secara prinsipnya, kami tidak mahu rundingan dua hala dengan AS,” kata Rouhani, dipetik laman web rasmi kerajaan. – AFP, 3 September, 2019.
Komen