Lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara 


SEORANG lelaki warga Myanmar maut, dipercayai ditikam rakan senegaranya di sebuah rumah kedai, di Laluan Sri Pengkalan 1, Pusing, di Batu Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 6.30 petang semalam, yang memaklumkan terdapat pergaduhan di sebuah rumah kedai yang disewa kedua-dua warga Myanmar itu.

“Mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah kilang perabot di Pusing sejak sebulan lepas, ditemukan masih dalam berpakaian lengkap terbaring, di dalam sebuah bilik dan terdapat kesan darah di bahagian dada.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemukan sebilah gunting di lokasi, kejadian dipercayai digunakan suspek yang merupakan rakan sebilik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini, mendapati mangsa meninggal dunia akibat tusukan objek tajam, di bahagian kiri dada.

Ahmad Adnan berkata kes diklasifikasikan di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih menjejaki suspek, yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pihak polis di talian 05-3629222 bagi mengesan suspek yang melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya. – Bernama, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen