Penduduk Pulau Gaya terima sistem bekalan air prabayar


Jason Santos

Penduduk Pulau Gaya sebelum ini bergantung kepada penjual yang membawa bekalan air terawat dari tanah besar.– Gambar The Malaysian Insight, 3 September, 2019

PENDUDUK Pulau Gaya yang sebelum ini bergantung kepada penjual air terawat akan menjadi pengguna pertama sistem bekalan air prabayar di negeri itu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong berkata, sistem berkenaan akan digunakan oleh penduduk dari 510 kediaman di dua kampung, sebelum ia dikembangkan kepada perkampungan lain di pulau berkenaan.

“Ia akan menjadi projek pilot Jabatan Air Negeri, yang akan bermula di dua kampung iaitu Kampung Gaya dan Kampung Kasuapan.

“Setiap rumah akan dipasang meter air sendiri, dan pemilik hanya akan gunakan apa yang mereka bayar,” katanya selepas mengumumkan pelaksanaan sistem bekalan air prabayar di Dewan Terbuka SK Pulau Gaya di Pulau Gaya hari ini.

Penduduk di Pulau Gaya terpaksa membelanjakan antara RM150-RM300 sebulan untuk bekalan air terawat daripada penjual yang membawa bekalan itu dari tanah besar ke pulau berkenaan.

Perjalanan ke Pulau Gaya mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan bot dari jeti Kota Kinabalu.

Wong berkata, masih terdapat ribuan rumah di kawasan terpencil di Sabah seperti Tongod, Papar dan Pinangah yang tiada bekalan air terawat. – 3 September, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen