KETUA Turus Angkatan Tentera Algeria, Ahmed Gaid Salah, pada Isnin menggesa agar satu pilihan raya presiden diadakan sebelum akhir tahun ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pertahanan negara itu.
Suruhanjaya pilihan raya “hendaklah mengeluarkan arahan (berkaitan perkara) itu pada 15 September,” kata Gaid Salah semasa melawat Briged Tentera ke- 4 di wilayah Ouargla, yang terletak 800 kilometer di tenggara Algiers.
Pilihan raya boleh diadakan 90 hari selepas satu pengumuman mengenainya dibuat oleh suruhanjaya pilihan raya di bawah undang-undang Algeria.
Algeria telah menyaksikan tunjuk perasaan secara besar-besaran sejak 22 Februari yang memaksa bekas Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan pada 2 April.
Ketika ini, penunjuk perasaan mendesak agar Presiden sementara Abdelkader Bensalah dan kabinet diterajui Perdana Menteri Noureddine Bedoui berundur atas alasan bahawa mereka tergolong dalam rejim presiden yang telah digulingkan. – Bernama, 3 September, 2019.
Komen