Azmin kena datang mesyuarat, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui sudah menasihatkan timbalannya Mohamad Azmin Ali hadir ke mesyuarat parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 September, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim tidak dapat memastikan jika timbalannya Azmin Ali masih enggan hadir mesyuarat parti kerana memboikot pertemuan itu.

Bagaimanapun Anwar menegaskan, beliau sudahpun menasihati Azmin untuk hadir ke mesyuarat tersebut.

“Boikot saya tak tahu, yang saya tahu (Azmin) tidak datang (mesyuarat), saya dah nasihat mesti datang (mesyuarat),” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan di ibu negara, hari ini.

Azmin bersama beberapa pemimpin PKR masih tidak hadir mesyuarat parti, termasuk mesyuarat biro politik parti.

Sikap Azmin dan pengikutnya itu menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai bentuk kerjasama yang akan terjalin dalam Kabinet sekiranya presiden PKR itu dilantik menjadi perdana menteri kelak.

Beliau juga terlibat dalam video seks yang menunjukkan dua lelaki di atas tidur dan menafikan beliau seorang daripadanya sebagaimana didakwa bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz. Polis sedang menyiasat video itu dan dalang di belakangnya.

Selain tidak hadir mesyuarat kepimpinan, Azmin juga tidak muncul pemukiman PKR di Port Dickson pada Julai.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil sebelum ini berkata notis untuk menghadiri mesyuarat biasanya dikeluarkan lebih awal.

Semalam, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail menolak cadangan berdamai puak yang bersaing dalam PKR, dengan mengatakan pemimpin perlulah menghadiri mesyuarat agar perselisihan dapat diselesaikan. – 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen