2 juta pelajar Cuba kembali ke sekolah


Pelajar Cuba kembali memulakan persekolahan semalam sebagai sebahagian tahun akademik 2019-2020. – Gambar EPA, 3 September, 2019.

HAMPIR dua juta pelajar Cuba memulakan persekolahan semalam sebagai sebahagian tahun akademik 2019-2020, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian pendidikan negara itu.

Angka itu mewakili kira-kira 25 peratus daripada sejumlah 11.2 juta penduduk negara tersebut dan meningkat sedikit berbanding tahun persekolahan sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Cuba.

Lebih 160,000 guru turut kembali ke kelas, atau 95 peratus daripada tenaga pengajar yang diperlukan, kata Menteri Pendidikan Ena Elsa Velazquez.

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel mengakui pengorbanan yang dilakukan para pendidik dalam membuat persediaan untuk tahun persekolahan di tengah-tengah kesulitan ekonomi susulan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS) sejak berdekad lamanya.

“Tahniah kepada mereka yang berjaya menjadikannya satu kenyataan,” kata pemimpin Cuba itu melalui akaun Twitter.

Tahun ini, lebih 8,000 profesor yang bertukar kepada pekerjaan dengan pendapatan lebih baik telah kembali mengajar selepas kerajaan menaikkan gaji mereka hampir empat kali ganda.

Cuba mempunyai lebih 10,700 sekolah dan 50 universiti di seluruh negara dengan kira-kira 208,000 pekerja, menurut angka rasmi.

Akses universal dan percuma kepada pendidikan selain penjagaan kesihatan, adalah antara pencapaian utama Revolusi 1959 Cuba, yang menyaksikan tumbangnya kediktatoran yang disokong AS dan penubuhan sebuah kerajaan sosialis. – Bernama, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen