VIRGINIA pada Isnin mengisytiharkan darurat bagi menangani kemusnahan akibat Taufan Dorian dan menjadi negeri kelima di Amerika Syarikat (AS) yang berbuat demikian semasa taufan itu terus membadai negara tersebut, lapor agensi berita China Xinhua.
“Saya mengisytiharkan darurat bagi memastikan bahawa semua lokaliti serta komuniti mempunyai tahap bantuan yang sewajarnya, dan untuk menyelaras respons Komanwel terhadap sebarang kesan yang berpotensi daripada Taufan Dorian,” kata Gabenor Virginia Ralph Northam semasa membuat pengisytiharan itu.
“Saya menggalakkan penduduk Virginia agar mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan mereka juga bersiap sedia,” katanya.
Sebelum ini, beberapa negeri Florida, Georgia, Carolina Selatan dan Carolina Utara mengisytiharkan darurat memandangkan kesemuanya berada di bawah ancaman bencana hurikan itu, yang laluannya sukar diramal.
“Satu keadaan darurat membolehkan Komanwel menggerakkan sumber serta menghantar petugas dan peralatan bagi membantu respons selain usaha pemulihan,” demikian menurut pengisytiharan darurat itu yang disiarkan dalam laman sesawang pejabat gabenor Virginia.
“Pengisytiharan itu juga membolehkan para pegawai dari Virginia untuk menyelaras sumber perancangan dan pemindahan dengan negeri Carolina Utara,” katanya.
Pusat Taufan Nasional AS dalam kemas kini yang dikeluarkan pada pukul 6 petang (waktu tempatan) masih merujuk Dorian sebagai “amat berbahaya” dan “terus mendatangkan keadaan yang boleh mengancam nyawa kepada Pulau Grand Bahama.”
Kini berada 30 batu (55 kilometer) di timur laut Freeport, Pulau Grand Bahama, dengan angin kencang berkelajuan maksimum yang berkurangan kepada 145 batu (230 kilometer) sejam, Dorian telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa di Pulau Abaco di Bahamas, kata Perdana Menteri Hubert Minnis kepada pemberita pada Isnin.
“Kami sedang mengalami tragedi bersejarah di beberapa bahagian utara Bahamas,” kata Minnis pada satu sidang akhbar. – Bernama, 3 September, 2019.
Komen