UMAT Islam sepatutnya mempromosi produk halal dan tidak menjalankan kempen memboikot mana-mana produk dengan alasan kaum, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Katanya kempen memboikot produk keluaran bukan Melayu dan bukan Islam merupakan amalan yang tidak sihat dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum,
“Kalau nak promosi produk halal boleh diterima, tapi kalau nak promosi berdasarkan isu berkaitan agama ia tidak sihat.
“Sebagai Muslim penting untuk kita promosikan produk orang Islam yang bagus dan diterima ramai.
“Tapi ada juga produk yang diperlukan Muslim tapi kepunyaan masyarakat Cina, tapi dibenarkan. Apabila konotasi kaum digunakan bagi saya tidak sihat dalam kehidupan masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC) di ibu negara hari ini.
Ia mengulas kempen yang digerakkan di media sosial yang menggesa agar pengguna tidak menjauhi produk serta perniagaan bukan Melayu dan bukan Islam.
Ia turut menggesa pengguna menjauhi produk keluaran bukan Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan produk sebagai tarikan pembeli.
Kempen itu sudah lama bergerak namun semakin hangat diperkatakan susulan penolakan kumpulan bukan Melayu ke atas pembelajaran tulisan Jawi di sekolah.
Kempen berkenaan turut juga memujuk pengguna untuk memilih produk halal keluaran Bumiputera dan juga pengusaha Muslim.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu turut menggesa agar kempen memboikot produk keluaran bukan Islam agar segera dihentikan.
Kempen berkenaan katanya tidak akan berkesan dan hanya akan mencetuskan api kemarahan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga turut meminta Umno dan PAS memainkan peranan mereka bagi menghentikan kempen tersebut.
PAS dalam reaksi balasnya menjawab, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bersama-sama membantu kempen untuk mengutamakan membeli produk Muslim.
Setiausaha agungnya Takiyuddun Hassan berkata, kajian menunjukkan kempen menyokong produk Muslim akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.
Beliau juga berkata kempen berkenaan akan membantu usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan usahawan luar bandar serta menjadikan mereka lebih berdaya saing. – 3 September, 2019.
Komen