Korea Selatan, Myanmar bakal anjur sidang kemuncak ekonomi


Presiden Korea Selatan Moon Jae In bersama Perdana Menteri Myanmar Prayut Chan-o-cha semasa sidang akhbar di Bangkok, Thailand. – Gambar AFP, 3 September, 2019.

PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae In akan berlepas ke Myanmar pada Selasa dalam usaha merintis jalan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan Moon ke Myanmar, yang pertama oleh seorang presiden Korea Selatan dalam tempoh tujuh tahun, adalah selaras dengan kempen pentadbiran beliau untuk mendekati negara-negara Asia Tenggara di bawah Dasar Selatan Baharu.

Moon kini dalam rangka lawatan seminggu ke rantau itu, yang membawanya ke Thailand di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha terutama berkaitan langkah memperkukuh kerjasama dalam industri berteknologi tinggi.

Beliau juga dijangka ke Laos selepas mengadakan lawatan dua hari ke Myanmar.

Sejurus tiba di ibu kota Naypyitaw, Moon dijadual mengadakan beberapa siri pertemuan dengan penasihat negara yang juga penerima Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint.

Fokus akan diberikan terhadap langkah mempertingkat hubungan dua hala terutama kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan.

Myanmar kelihatan begitu bersemangat untuk menarik pelaburan langsung asing manakala Korea Selatan berhasrat memperluas kerjasama dengan negara itu yang kaya dengan sumber asli dan terletak di tengah-tengah Asia iaitu antara China dan India.

Lebih 200 syarikat Korea Selatan kini menjalankan perniagaan di Myanmar.

Semasa lawatan Moon ke negara itu, kerajaan Myanmar merancang untuk melancarkan pejabat “Korea Desk” bagi membantu perniagaan Korea Selatan menyelesaikan masalah pentadbiran.

Moon juga mungkin menyatakan pendirian Seoul berhubung isu sensitif yang membabitkan krisis kemanusiaan etnik Rohingya.

Pada Rabu, beliau dijangka berlepas ke Yangon bagi menghadiri satu forum perniagaan dan majlis pecah tanah Kompleks Perindustrian Kerjasama Ekonomi Korea Selatan-Myanmar. – Bernama, 3 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen