SEORANG bekas pengarah urusan anak syarikat Felcra Berhad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung penyelewengan dana dan agihan kontrak bernilai RM4 juta.
Suspek berusia 53 tahun itu ditahan pada 18 September tahun lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia susulan serbuan yang dijalankan SPRM di pejabat syarikat itu di Setapak dan sembilan lagi premis di Perak dan pantai timur. Pelbagai dokumen turut dirampas dalam operasi berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
CEO Felcra Mohd Nazrul Izam Mansor juga pada waktu itu mengarahkan pegawainya membuat laporan kepada SPRM selepas satu siasatan audit menemui pelbagai percanggahan dalam akaunnya.
Nazrul dilaporkan berkata aduan itu akan membolehkan SPRM membuat siasatan lebih terperinci untuk memastikan kebajikan dan kepentingan awam dilindungi. – 3 September, 2019.
Komen