Kerajaan tak boleh halang Zakir Naik 100%, kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan menyekat sepenuhnya aktiviti Dr Zakir Naik terutama melibatkan program bacaan doa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2019.

KERAJAAN tidak boleh menyekat sepenuhnya aktiviti Dr Zakir Naik terutama melibatkan program bacaan doa, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Mengulas kehadiran penceramah kontroversi dalam satu majlis di Melaka Sabtu ini katanya, Zakir dibenarkan untuk menghadirinya kerana dia tidak akan memberikan apa-apa ucapan.

Beliau mengesahkan apa yang polis Melaka dan penganjur majlis, ahli majlis eksekutif dan wakil rakyat Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu media bahawa program di Masjid Cina Krubong pada 7 September ini boleh diteruskan kerana Zakir tidak akan memberikan ceramah.

“Saya dimaklumkan dia ada di sana untuk ambil bahagian dalam solat atau bacaan doa sahaja.

“Ketua polis Melaka telah memaklumkan kepada kami bahawa atas dasar itu Zakir dibenarkan menyertai program berkenaan,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya pagi ini.

Zakir akan membuat penampilan umum dalam satu program yang dianjurkan oleh Rafiq yang juga pengerusi masjid.

Rafiq yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu berkata acara “Malam Islam bersama Zakir Naik” akan bermula sebelum solat Maghrib dan hanya melibatkan solat, tanpa ucapan.

Ini akan menjadi penampilan umum pertama Zakir sejak pengharaman polis terhadap pendakwah kelahiran India dari bercakap di mana-mana platform awam sehingga siasatan ke atas ucapannya yang didakwa menyinggung perasaan rakyat Malaysia terutama kaum Cina dan India selesai. – 3 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen