SEORANG lelaki bersenjata telah menyerang sebuah stesen bas di Mexico semalam dan membunuh lima orang serta mencederakan seorang penduduk di Cuernavaca, kata pihak berkuasa.
Suruhanjaya keselamatan untuk Morelos berkata, lelaki bersenjata itu menyasarkan orang ramai di stesen bas Estrella de Oro berdekatan pusat bandar.
Laporan media tempatan berkata lelaki bersenjata itu membunuh tiga mangsa di dalam bas, seorang di kawasan menunggu dan seorang lagi di bilik mandi.
Insiden tembakan di stesen bas itu terjadi selepas kejadian 15 orang dibunuh dalam pelbagai kejadian di negeri itu.
Mexico telah dilanda gelombang keganasan sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk melawan kartel dadah yang kuat pada 2006.
Sejak itu lebih 250,000 orang telah dibunuh.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada Ahad mengakui Mexico “masih menderita akibat ketidakamanan dan keganasan”.
Beliau bersumpah untuk meningkatkan usaha menamatkan keganasan yang mengerikan dari apa yang dipanggil “perang dadah”. – AFP, 3 September, 2019.
Komen