Azmin fail rayuan tuntut ketua polis negara tangkap Jho Low


MENTERI Besar Selangor Azmin Ali memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya memaksa ketua polis negara mencari dan menangkap Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rayuan difailkan oleh peguamnya Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 Oktober lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Hanipah Farikullah menolak permohonan Azmin pada 3 Oktober lepas dengan alasan tiada merit.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke sebelum ini membantah permohonan Azmin dengan alasan, antaranya, tiada bukti Jho Low melakukan kesalahan di Malaysia.

Azmin pada 14 Ogos lalu memfailkan permohonan menuntut satu perintah mandamus yang mengarahkan ketua polis negara menangkap dan membawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho di hadapan majistret Malaysia bagi menghadapi tuduhan jenayah di bawah Seksyen 409 dan 420 atau sebarang kesalahan lain.

Beliau mengemukakan alasan bahawa Jho Low melakukan kesalahan termasuk pecah amanah dan penipuan kerana menyebabkan syarikat 1MDB mengalami kerugian dan pihak ketiga mendapat keuntungan secara salah.

Beliau mendakwa Jho Low secara tidak jujur menyebabkan 1MDB percaya bahawa Aabar of Dubai dan Aabar BVI adalah entiti sama yang menyebabkan sejumlah AS$1.367 bilion dibayar kepada Aabar BVI.

Azmin juga mendakwa responden mempunyai kesemua maklumat berkenaan dan maklumat lanjut lain yang mengesahkan Jho Low pecah amanah wang 1MDB, namun memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangkapnya.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengumumkan Jho Low adalah seorang yang dikehendaki berkaitan kesalahan melibatkan 1MDB. – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen