BANGLADESH semalam mengarahkan pengendali untuk menutup perkhidmatan telefon bimbit bagi hampir sejuta pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian di tenggara negara itu, kata pihak berkuasa.
Langkah itu diambil susulan berlaku keganasan di beberapa minggu kebelakangan ini di kem-kem, kebanyakannya didiami oleh Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine di Myanmar ke Bangladesh, dua tahun lalu akibat keganasan tentera terhadap masyarakat minoriti Muslim itu.
Ia juga susulan tidak ada pelarian yang datang di sempadan untuk pulang ke Rakhine pada Ogos lalu, kerana mereka merasakan Myanmar tidak bersungguh membenarkan mereka kembali ke kampung halaman.
Pengendali telekomunikasi diberikan tempoh tujuh hari untuk menghantar laporan terhadap tindakan itu, kata jurucakap Suruhanjaya Telekomunikasi Bangladesh BTRC), Zakir Hossain Khan.
“Ramai pelarian guna telefon bimbit di kem. Kami minta pengendali bertindak menghentikannya,” katanya, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada isu keselamatan.
Arahan itu mengejutkan masyarakat Rohingya.
Ketua mereka yang enggan dinamakan berkata larangan itu akan menjejaskan kehidupan mereka, mengganggu komunikasi antara kem yang berselerakan di seluruh sempadan daerah Cox’s Bazar.
“Kami tidak dapat berhubung dengan keluarga di Myanmar atau di mana-mana pun,” katanya.
Katanya, pelarian Rohingya bergantung pada saudara dan kenalan di luar negara dan biasanya menerima panggilan telefon untuk memaklumkan tentang duit yang dihantar.
Pada Ahad, polis berkata pelarian Rohingya keempat ditembak mati susulan pembunuhan pemimpin parti pemerintah Omar Faruk disyaki dilakukan penjenayah Rohingya.
Pembunuhan Faruk menyebabkan ratusan penduduk tempatan yang berang berarak dan menyekat laluan lebuh raya menuju kem pelarian pada 22 Ogos, selain membakar tayar dan memusnahkan kedai yang menjadi tempat kunjungan pelarian. – AFP, 3 September, 2019.
Komen