KEFAHAMAN ahli Umno dan PAS terhadap kerjasama dua parti terbesar Melayu Islam di negara ini menjadi fokus utama gerak kerja kepimpinan kedua-dua parti itu di peringkat akar umbi.
Pelbagai program dianjurkan secara bersama bagi membentuk keserasian dan mengukuhkan hubungan menjelang 14 September – hari Umno dan PAS akan memeterai piagam bermulanya kerjasama rasmi kedua-dua parti.
Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohd Noor berkata program dianjurkan di Kelantan lebih berbentuk ceramah kerana masih terdapat ahli yang agak ragu-ragu dengan kerjasama Umno dan PAS.
“Kita tidak menolak masih wujud segelintir ahli yang skeptikal dengan kerjasama ini. Ada yang kata PAS akan tarik diri, Umno cari talian hayat, macam-macam lagilah.
“Jadi kita bersama dengan PAS bergerak sekali untuk memberi penerangan kepada ahli di bawah. Kita juga membawa MCA dan MIC sekali sebab kita mahu jelaskan perpaduan ummah ini akan meliputi seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Umno dan PAS akan memeterai piagam kerjasama pada 14 September pada acara khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang akan ditandatangani oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Pemeteraian itu dibuat setelah perbincangan mengenai piagam yang bermula sejak awal Mac lalu itu berjaya dimuktamadkan.
Menurut Hariri walaupun Umno dan PAS bermusuhan sejak berpuluh-puluh tahun lalu sehingga tahap pengasingan surau mengikut parti, hari ini kedua-dua pihak mampu bersama dalam satu jemaah.
“Dulu ada di Terengganu surau Umno lain, PAS lain. Di Kelantan ini ada, tapi isu terpencillah. Tetapi sejak PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), hubungan dua parti ini semakin kendur, tidak tegang macam dulu.
“Sekarang ini, orang PAS sudah boleh jadi makmum kepada imam Umno. Begitu juga sebaliknya. Daripada segi pentadbiran, ada juga program kerajaan negeri yang Umno turut menjadi urusetia acara,” katanya.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor Azril Hairi Ahmad berkata pihaknya tiada masalah untuk menerangkan kepada ahli parti mengenai kerjasama ini kerana mereka akur dengan arahan pucuk pimpinan.
Beliau berkata apa yang dilakukan pada waktu ini adalah mencari keserasian dengan Umno melalui program dan aktiviti yang dianjurkan secara bersama.
“Kita mengadakan beberapa program secara bersama dengan Umno seperti futsal, menonton perlawanan bola sepak secara bersama bagi mewujudkan kemesraan dan mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak. Sambutan daripada ahli sangat menggalakkan.
“Selain program bersama, kita menubuhkan Sekretariat Perpaduan Ummah di peringkat Pemuda. Melalui sekretariat ini kita merancang program dan strategi secara bersama,” katanya.
Bagaimanapun, berbeza keadaan di Terengganu apabila tiada usaha atau tindakan yang diadakan secara bersama bagi membentuk keserasian kedua-dua ahli Umno dan PAS.
Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berkata kedua-dua pihak masih menunggu 14 September sebelum mengadakan perbincangan secara rasmi Umno dan PAS.
“Di Terengganu kita tiada program secara bersama dengan PAS, tidak seperti di negeri lain. Tetapi masing-masing ada hantar undangan untuk hadir program sebagai jemputan.
“Bila sudah ada perjanjian nanti, barulah kita wujudkan jawatankuasa teknikal dan bergerak secara rasmi,” katanya.
Haphiz tidak menolak kemungkinan keadaan tersebut berlaku disebabkan hanya Umno dan PAS parti yang dominan di Terengganu dan kuasa pentadbiran kerajaan negeri sering bertukar tangan.
“Saya rasa perkara ini kerana kita sentiasa berganti kerajaan. Umno perintah tiga penggal selepas itu PAS rampas. Kemudian Umno rampas balik.
“Umno dan PAS saja parti yang dominan di Terengganu ini. Walaupun tiada kerjasama secara rasmi, tidaklah kita bergaduh,” katanya. – 3 September, 2019.
Komen