Israel bina 4,000 rumah peneroka haram di Tebing Barat


Hebron dihuni kira-kira 200,000 rakyat Palestin dengan 800 peneroka haram tinggal dalam perlindungan tentera Israel di beberapa penempatan dikawal ketat di tengah bandar. – Gambar AFP, 11 Oktober, 2017.

ISRAEL dijangka memajukan rancangan membina 4,000 rumah peneroka haram di Tebing Barat sebagai antara usaha meningkatkan pertumbuhan penempatan di situ.

Seorang pegawai Israel berkata kelulusan pembinaan itu termasuk unit di bandar utama Tebing Barat di Hebron, kali pertama sejak tempoh beberapa tahun.

Pegawai itu berkata sebanyak 3,736 unit rumah akan diluluskan dalam beberapa peringkat perancangan dan pembinaan.

Beliau bagaimanapun tidak memberi tempoh atau pecahan tepat, namun berkata penempatan itu akan dibina di seluruh Tebing Barat termasuk Hebron, Migron dan Beit El berhampiran Ramallah.

“Secara keseluruhan, kira-kira 12,000 unit penempatan akan diluluskan pada 2017 di pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan, empat kali ganda berbanding jumlah tahun lalu,” katanya.

Israel berdepan kritikan hebat ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berhubung pembinaan penempatan, namun keadaan berbeza selepas Donald Trump menggantikan Obama.

Media Israel berkata majlis perancang dijangka bermesyuarat minggu depan untuk meluluskan sekurang-kurangnya sesetengah daripada pelan terbabit.

Akhbar harian Haaretz berkata jika penempatan Hebron diluluskan, ia kali pertama untuk bandar selatan Tebing Barat sejak 2002.

Hebron dihuni kira-kira 200,000 rakyat Palestin dengan 800 peneroka tinggal dalam perlindungan tentera Israel di beberapa penempatan dikawal ketat di tengah bandar. – AFP, 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen