PEMIMPIN Catalonia sudah pun menandatangani deklarasi kemerdekaan dari Sepanyol semalam tetapi menangguhkannya serta-merta dan mahu mengadakan rundingan dengan Madrid berhubung krisis politik paling teruk di negara itu.
Ketika Sepanyol pun dalam keadaan yang tidak pasti, Perdana Menteri Mariano Rajoy dijangka mempengerusikan mesyuarat tergempar kabinet awal hari ini untuk membincangkan respons kerajaan pusat.
Dalam satu ucapan kepada wakil rakyat wilayah di Barcelona yang menerima kritikan dan pujian daripada puak pemisah, Presiden Catalonia Carles Puigdemont berkata beliau sudah menerima “mandat daripada rakyat untuk Catalonia menjadi republik merdeka” susulan referendum pada 1 Oktober.
Bagaimanapun, pemimpin berusia 54 tahun itu meminta Parlimen Catalonia untuk “menangguhkan kuat kuasa deklarasi kemerdekaan itu bagi memulakan dialog dalam tempoh beberapa minggu akan datang”.
Rajoy berikrar untuk menggunakan segala kuasanya untuk menghalang kemerdekaan itu dan enggan menolak kemungkinan mengenakan peraturan langsung terhadap wilayah semi autonomi itu – satu langkah yang tidak pernah dibuat kerana kebimbangan ia membawa kepada keadaan kacau bilau.
Mesyuarat tergempar kabinet dijangka diadakan jam 7 pagi ini.
Pemimpin politik di Catalonia, Sepanyol dan Eropah bimbang dengan perkembangan terbesar di negara itu sejak transisinya ke arah demokrasi pada 1970-an.
Puigdemont dan sekutunya menandatangani deklarasi kemerdekaan di luar dewan Parlimen, tetapi beliau kemudian menangguhkannya dan sekali lagi mendesak supaya dialog diadakan, kata jurucakap kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Soraya Saenza de Santamaria kemudian memberitahu wartawan yang Puigdemont “seseorang yang tidak tahu di mana dia berada, ke mana dia hendak pergi atau dengan siapa dia hendak pergi”. – AFP, 11 Oktober, 2017.
Komen