EMPAT warga Australia diusir dari Kepulauan Papua, Indonesia semalam, kata imigresen negara itu, selepas mereka didakwa terlibat dalam demonstrasi menuntut kemerdekaan di daerah itu.
Papua yang miskin, sejak berdekad lamanya memang mempunyai kumpulan pemisah yang memberontak walaupun dalam skala kecil, tetapi sejak dua minggu lepas, protes dan rusuhan maut dicetuskan kemarahan kerana perkauman dan desakan kemerdekaan wilayah itu.
Empat warga asing itu memasuki wilayah itu menggunakan kapal layar menerusi Pelabuhan Sorong pada 10 Ogos, kata pegawai imigresen Indonesia Erlangga Dwi Saputra kepada AFP.
Mereka “disyaki terlibat berdemo menuntut kemerdekaan Papua di depan pejabat datuk bandar Sorong,” kata jabatan imigresen tempatan dalam satu kenyataan.
Ia berlaku ketika polis di Papua, wilayah Indonesia yang bersempadan dengan Papua New Guinea mengharamkan demo yang boleh mencetuskan “tindakan anarkis”.
Semalam, polis berkata berpuluh orang ditahan berkaitan dengan rusuhan di ibu kota wilayah itu, Indonesia berkata kerajaan pusat akan mengerahkan lebih 2,500 polis dan tentera ke kawasan itu.
Warga Australia itu dikenal pasti sebagai- Tom Baxter, 37, Danielle Hellyer, 31, Ruth Irene Cobbold, 25, dan Cheryl Melinda Davidson, 36- diterbangkan keluar dari Papua ke Bali pada Isnin, kata Saputra.
Mereka dijangka diterbangkan ke Australia pada malam Isnin, sementara Davidson pada Rabu.
Menurut Saputra, tiga daripada empat orang itu terlibat dalam demonstrasi di Sorong dan mengibarkan bendera “Bintang Pagi” Papua yang diharamkan pada 27 Ogos lepas. Polis menemui warga keempat di kapal layar itu, tambahnya.
Kekecohan tercerus di seluruh Papua yang tercetus pada pertengahan Ogos disebabkan penahanan berpuluh pelajar Papua di Jawa, yang juga mendakwa didera kerana kulit mereka.
Jakarta mengambil alih bekas jajahan Belanda itu pada 1960-an selepas referendum kemerdekaan yang dianggap banyak pihak sebagai penipuan.
Pihak berkuasa Indonesia sangat sensitif dengan isu Papua. Pada Mei, seorang warga Poland dijatuhi penjara lima tahun kerana bersubahat dengan pemberontak mahu menjatuhkan kerajaan wilayah itu. – AFP, 2 September, 2019.
Komen