AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen sanggup mempertaruhkan jawatannya demi memastikan program bersama Zakir Naik di Masjid Cina Krubong, Melaka, pada 7 September depan diteruskan.
Rafiq, yang juga pengerusi masjid itu berkata, program solat berjemaah dan bacaan Yasin tanpa slot ceramah Zakir itu seharusnya tidak menjadi kontroversi.
“Pengisian kita selepas Maghrib, ada doa sedikit, itu sahaja, kenapa kecoh sangat?“soalnya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa kehadiran Zakir menjadi kontroversi sedangkan agama lain bebas menjemput pemimpin agama masing-masing.
“Saya atau orang Islam tidak pernah ganggu mana-mana tokong atau kuil untuk jemput sami atau ketua agama mereka untuk datang sembahyang beribadah di tempat masing-masing.
“Kenapa Zakir Naik, seorang Islam, pendakwah dihormati, dan beliau datang ke masjid di Melaka untuk sembahyang, kenapa halang?
“Ini tak boleh diterima sama sekali. Saya akan pertahankan, kalau saya perlu korbankan jawatan saya untuk hak orang Islam saya akan buat, ini bukan kerana Zakir Naik, apa sahaja berkaitan hak orang Islam dan Melayu, kalau perlu korban, saya akan korbankan jawatan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Program itu mencetuskan kontroversi selepas posternya tular di media sosial semalam. Zakir sebelum ini dilarang memberi ceramah di seluruh negara kerana polis sedang menyiasatnya berkaitan kandungan ceramah di Kota Bharu, Kelantan pada awal Ogos lalu.
Rafiq yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu turut berkata, beliau hanya mengharapkan hak dan keadilan untuk orang Islam menunaikan ibadah tanpa gangguan.
“Saya bukan ekstrem Melayu atau Islam, saya nak keadilan untuk semua kaum. Semua kaum boleh beribadah dan panggil ketua agama ke tokong dan kuil mereka.
“Begitu juga dengan imam boleh ceramah di mana mana masjid, jangan dipertikai. Hormati Islam sebagai agama Persekutuan, Perlembagaan kita masih tetapkan Islam agama rasmi Persekutuan,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau akan meneruskan program tersebut walaupun menerima tekanan untuk membatalkannya.
“Kita tak pernah ganggu rumah ibadah lain, saya selalu pergi ke kuil menerima jemputan, saya selalu pergi tokong, saya tak pernah tanya sami mana dia jemput. Kita tak pernah ganggu rumah ibadah lain untuk jemput mana-mana tokoh untuk urusan sembahyang di rumah ibadah mereka.
“Program Zakir Naik di Melaka tetap diteruskan, walaupun saya menerima tekanan,” kata Rafiq lagi.
Tambahnya, program itu hanya akan dibatalkan sekiranya terdapat undang-undang khusus melarang Zakir turut serta.
“Kalau ada undang-undang negara atau kitab yang kata jemput Zakir Naik salah, saya akan tarik balik jemputan, tetapi polis sendiri sudah benarkan,” katanya.
Sudah dapat kebenaran polis, ketua menteri
Menurut Rafiq lagi, pihaknya juga sudah mendapat kebenaran Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan polis untuk penganjuran program itu.
Menurutnya, Adly dan polis membenarkan program itu diteruskan kerana ia tidak melibatkan sebarang ceramah Zakir.
“Saya dah maklumkan kepada ketua menteri Melaka berkenaan hajat saya untuk anjurkan program di Masjid Cina Kerubung, beliau maklumkan selagi tiada ceramah pihaknya tiada halangan, polis Melaka pun dah keluar kenyataan, tidak ada masalah.
“Saya juga dah rujuk kepada Ketua Polis Melaka (Raja Shahrom Raja Abdullah) dan sudah dapat pengesahan tiada masalah,” katanya.

Disebabkan kebenaran sudah diterima, kata Rafiq lagi, bantahan kepada program itu sepatutnya tidak lagi wujud.
“Polis, ketua menteri, dan kerajaan negeri kata tidak ada masalah. Saya tak nampak apa masalahnya, lagipun kita nak sembahyang di masjid, sepatutnya tak mendatangkan perasaan kurang senang mana-mana pihak, kita kena hormat hak orang Islam untuk sembahyang.
“Urusan masjid dan urusan berkaitan ibadah, tak boleh campur tangan daripada orang bukan Islam. Ini urusan ibadah, bukan politik. Kalau politik kita boleh bincang. Kalau ibadah kita tak boleh bincang,” katanya.
Beliau berkata, masjid seharusnya sentiasa terbuka menerima kehadiran ulama atau pendakwa Islam.
“Kali ini giliran Zakir Naik, esok saya boleh panggil Dr Maza (Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin), lusa boleh panggil mufti Wilayah, saya juga boleh panggil Mufti Melaka Halim Tawil.
“Cumanya, kali ini giliran Zakir Naik, kenapa tak benarkan? Bukan hari-hari atau setiap bulan, kita panggil Zakir Naik, kalau daripada Januari sampai Disember kalau kita panggil Zakir Naik sahaja, itu lainlah.”
Beliau juga menggesa agama Islam sebagai agama rasmi negara dihormati.
“Masjid sentiasa terbuka kepada pendakwah dan imam. Ada masa giliran imam daripada masjid Cina ini, ada masa kita panggil imam lain, tapi ini bukan ceramah, ini sembahyang sahaja.
“Apa nak kecoh, kena hormatlah Islam agama Persekutuan, bukan sama kedudukan (dengan agama lain pun), kalau tak faham Perlembagaan kita kena buka balik Perlembagaan.” – 2 September, 2019.
Komen