Wakil AS bertemu Presiden Afghanistan di Kabul


Zalmay Khalilzad telah mengambil masa kira-kira satu tahun untuk berunding dengan Taliban di Doha dalam satu siri rundingan yang bertujuan untuk mengakhiri perang Amerika sejak 18 tahun lalu di Afghanistan. – Gambar EPA, 2 September, 2019.

WAKIL Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai usaha untuk menjalin kesepakatan dengan Taliban bertemu dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di Kabul ketika perjanjian bersejarah dengan pemberontak dilihat akan disempurnakan.

Zalmay Khalilzad telah mengambil masa kira-kira satu tahun untuk berunding dengan Taliban di Doha dalam satu siri rundingan yang bertujuan untuk mengakhiri perang Amerika sejak 18 tahun lalu di Afghanistan.

Perjanjian itu akan menyaksikan penarikan diri pasukan AS sebagai balasan kepada beberapa jaminan keselamatan daripada Taliban, rundingan damai antara pemberontak dan kerajaan Afghanistan, dan gencatan senjata.

Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, seorang pegawai memberitahu AFP bahawa Khalilzad tiba di Kabul malam Ahad dan bertemu dengan Ghani untuk membincangkan perkembangan terkini selepas rundingan kesembilan yang dijalankan di ibu negara Qatar.

Rundingan dijangka berterusan hari ini dengan pegawai-pegawai Afghan yang lain, termasuk Ghani, kata pegawai itu.

Rundingan itu dianggap penting kerana kerajaan Afghanistan telah banyak diketepikan daripada perbincangan sebelum ini, walaupun kesepakatan akhirnya memerlukan Taliban untuk berunding dengan Ghani, yang mereka anggap sebagai boneka Amerika.

Pada hari Ahad, Khalilzad berkata AS dan Taliban berada di “ambang” kesepakatan yang akan mengurangkan keganasan dan membuka jalan bagi perdamaian.

Bagaimanapun, walaupun rundingan telah memasuki peringkat terakhir keganasan terus berlaku di Afghanistan.

Pada hari Sabtu, Taliban cuba merampas Kunduz di utara, dan pada hari Ahad, mereka melancarkan operasi di bandar Pul-e Khumri, ibukota wilayah Baghlan.

Pegawai-pegawai Afghanistan hari ini berkata Pul-e Khumri telah dibersihkan daripada pejuang Taliban.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo sebelum ini berkata beliau berharap perjanjian damai akan dimuktamadkan segera. – AFP, 2 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen