Panda kembar lahir di Berlin


Dipinjamkan dari China, Meng Meng dan panda jantan Jiao Qing tiba di Berlin pada Jun 2017. – Gambar AFP, 2 September, 2019.

ZOO Berlin hari ini mengumumkan yang panda residennya, Meng Meng, sudah melahirkan sepasang kembar, kelahiran pertama panda di negara itu.

“Meng Meng jadi ibu- kembar! Kami sangat gembira, tak terkata,” kata zoo itu di Twitternya dan memuat naik video ibu muda itu sedang cuba menyusu anak-anaknya.

Kelahiran itu menjadi tumpuan kerana haiwan itu sangat sukar melahirkan anak.

Panda itu melahirkan anak pertama pada petang Sabtu. Sejam kemudian, anak keduanya lahir.

“Meng Meng dan dua anaknya sihat dan baik selepas kelahiran,” kata Pengarah Zoo Andreas Knieriem.

Ketika lahir, anak panda yang berwarna merah jambu dan kurang berbulu serta ekor panjang tidak menyerupai panda dewasa yang berwarna hitam dan putih.

Jantina kedua-dua anak panda itu masih belum didedahkan, walaupun zoo berkata kedua-duanya seberat 136g dan 186g.

Dipinjamkan dari China, Meng Meng dan panda jantan Jiao Qing tiba di Berlin pada Jun 2017.

Digunakan sebagai “diplomasi panda”, China mengirimkan khazanah negara itu hanya kepada negara tertentu sebagai simbol hubungan rapat.

Zoo membayar AS$15 juta (RM63 juta) untuk kontrak 15 tahun menjaganya, wang itu digunakan untuk pemeliharaan dan kajian pembiakaan panda di China.

Walaupun dilahirkan di Berlin, anak-anak panda itu kekal milik China dan perlu dipulangkan selepas empat tahun dilahirkan.

China sebelum itu memberikan tiga ekor panda kepada Jerman, tetapi seekor lagi, Bao Bao yang berusia 34 tahun meninggal di Berlin pada 2012, ia merupakan panda jantan tertua di dunia.

Sekitar 1,864 ekor panda hidup dalam hutan liar di China, meningkat berbanding hanya 1,000 ekor pada hujung 1970-an, menurut WWF.

Hanya 400 ekor tinggal dalam kurungan zoo di seluruh dunia, hasil projek pemeliharaan yang ditubuhkan Beijing. – AFP, 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen