Tidak lahirkan anak di Korea Selatan, calon penjawat awam dihina 


Walaupun menyaksikan kemajuan ekonomi, masyarakat Korea Selatan masih dilihat sebagai patriarki dan menghadapi krisis demografi apabila golongan wanita semakin ramai enggan memiliki bayi atas alasan perbelanjaan membesarkan anak-anak di samping dapat meruntuhkan kerjaya mereka. – Gambar ihsan koreantimes.com, 2 September, 2019.

SEORANG ahli Parlimen Korea Selatan menimbulkan kemarahan pada hari Isnin apabila dia merendahkan seorang profesor ekonomi wanita yang dicalonkan sebagai ketua penguatkuasaan undang-undang perniagaan negara itu kerana tidak “memenuhi kewajipannya kepada negara” dengan mempunyai anak.

Walaupun menyaksikan kemajuan ekonomi, masyarakat Korea Selatan masih dilihat sebagai patriarki dan menghadapi krisis demografi apabila golongan wanita semakin ramai enggan memiliki bayi atas alasan perbelanjaan membesarkan anak-anak di samping dapat meruntuhkan kerjaya mereka.

Kerajaan Korea Selatan telah membelanjakan berbilion dolar sejak tahun 2005 bagi meningkatkan kadar kelahiran dengan menyediakan subsidi anak-anak dan memperluaskan perkhidmatan penjagaan anak, namun usaha itu tidak menunjukkan hasil.

Jeong Kab-yoon, penggubal undang-undang dari parto pembangkang, Liberty Parti Korea, mencetuskan bantahan apabila dia memarahi Joh Sung-wook, seorang ahli akademik yang belum berkahwin.

“Saya sedar bahawa anda masih bujang dan masalah terbesar di Korea Selatan ialah (wanita) tidak melahirkan anak,” kata Jeong pada pendengaran pengesahan Joh untuk mengetuai Suruhanjaya Keadilan Perdagangan seperti yang dilaporkan agensi berita Yonhap.

“Anda mempunyai kelayakan yang hebat tetapi sila penuhi kewajipan anda kepada negara,” kata Jeong.

Joh dilihat terkejut namun tidak bertindak balas terhadap kenyataan Jeong itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial menyatakan kemarahan di atas kenyataan itu.

“Ini adalah serangan seksual secara terang-terangan dan pelanggaran hak wanita,” tulis seorang pengguna.

Pengguna lain turut bertanya: “Adakah calon lelaki menghadapi soalan ini?”

Kadar kesuburan negara turun menjadi 0.98 pada tahun 2018 di Korea Selatan, jauh dari 2.1 yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan penduduk. – AFP, 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen