PAKISTAN berkata ia akan memberikan akses terhadap seorang pengintip yang kini menunggu hukuman mati di negara itu kepada India pada hari Isnin, beberapa minggu selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menggesa agar negara itu mengkaji semula hukumannya dalam kes yang menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara yang bersaing dalam persenjataan nuklear.
“Akses konsular untuk pengintip warga India Komandan Kulbhushan Jadhav, seorang pegawai tentera laut India dan pengendalian RAW, akan diberikan pada hari Isnin 2 September 2019,” kata jurubicara Kementerian Luar Negara Mohammad Faisal lewat hari Ahad.
Seorang pegawai kanan kerajaan India mengesahkan pertemuan itu dan memberitahu AFP bahawa New Delhi berharap “Pakistan akan memastikan suasana yang aman supaya pertemuan itu bebas, adil, bermakna dan berkesan selaras dengan surat dan semangat perintah ICJ”.
Keputusan itu tampil selepas beberapa minggu ICJ memerintahkan Islamabad memberikan tawanan terhadap akses konsular namun tetap menolak tuntutan India agar Jadhav dibebaskan.
Bekas pegawai tentera laut India itu ditangkap pada Mac 2016 di wilayah barat daya Pakistan, Balochistan - wilayah di mana Islamabad menuduh New Delhi memberi sokongan terhadap pemberontak.
Menurut pegawai India, Jadhav bersara dari angkatan laut pada tahun 2001 dan menjalankan perniagaan “logistik” di pelabuhan Chabahar di Iran.
New Delhi menegaskan Jadhav ditawan di Iran sebelum dipindahkan ke Pakistan dan kemudian dipaksa untuk mengaku aktiviti pengintipan.
Ketegangan semakin menebal antara kedua-dua negara itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan tindakan Perdana Menteri Narendra Modi bulan lepas yang membatalkan autonomi bahagiannya di wilayah Kashmir.
Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah melancarkan serangan diplomatik terhadap India dan mengetuai protes membantah keputusan Modi.
Kashmir telah dibahagikan antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan, dan mencetuskan dua peperangan di samping terus bergelut dalam pertikaian dan pertempuran di antara kedua-dua negara itu. – AFP, 2 September, 2019.
Komen