LAPAN kapal perang, empat pesawat dan lebih seribu anggota tentera dari Amerika Syarikat (AS) dan 10 negara Asia Tenggara (Asean) akan menyertai latihan maritim hari ini sebagai sebahagian latihan bersama yang berkait dengan pertikaian di Laut China Selatan.
Latihan itu merupakan kali pertama diadakan antara AS dan negara Asean, dan ia akan berlangsung selama lima hari bermula di Pangkalan Tentara Laut Sattahip di Thailand dan berakhir di Singapura.
Latihan itu diadakan ketika ketegangan makin memuncak antara China dan negara Asia berhubung pertikaian Laut China Selatan.
Dengan diketuai secara bersama tentera laut AS dan Thailand, latihan tersebut akan berlangsung di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan termasuk di Teluk Thailand sebelum berakhir di Singapura.
Menurut kedua-dua tentera dalam satu kenyataan bersama, latihan itu bertujuan mempamerkan kekuatan maritim negara Asean dan hubungan antara AS dan negara di rantau itu.
Kesemua 10 anggota negara Asean akan menyertai latihan tersebut yang melibatkan simulasi operasi khas menyerbu kapal yang menjadi sasaran.
China mendakwa majoriti kawasan Laut China Selatan merupakan miliknya termasuk laluan kapal perdagangan antarabangsa. – AFP, 2 September, 2019
Komen