PM Singapura tuntut portal padam artikel


Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam memberi amaran tindakan undang-undang terhadap editor The Online Citizen (TOC) atas tuduhan palsu berhubung pertikaian kediaman keluarganya. – Gambar EPA, 2 September, 2019.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam memberi amaran tindakan undang-undang terhadap editor sebuah portal atas tuduhan palsu berhubung pertikaian kediaman keluarganya.

Menerusi surat yang dihantar kepada Editor The Online Citizen (TOC) Terry Xu, setiausaha Lee menuntut artikel di laman web dan akaun Facebook portal itu dipadam serta-merta.

TOC juga diberi tempoh sehingga Rabu untuk memohon maaf dan akan dikenakan tindakan sama sekiranya gagal berbuat demikian, menurut surat itu lagi.

TOC terkenal kerana menerbitkan artikel mengkritik parti pemerintah, People’s Action Party.

Artikel yang disiarkan TOC adalah ulasan terhadap tulisan isteri Lee, Ho Ching di Facebook pada bulan lepas di mana beliau menjelaskan mengapa ada ketikanya perlu memutuskan hubungan dengan “ahli keluarga yang beracun”.

TOC merujuk kepada pertikaian yang dihadapi keluarga Lee yang tercetus sejak 2017.

Lee, 67, terlibat dalam pertikaian dengan adiknya, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling berhubung banglo milik keluarga di Oxley Road selepas kematian bapa mereka, pengasas Singapura dan perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew pada 23 Mac 2015.

Mendiang Lee mewasiatkan kediaman itu dirobohkan selepas kematiannya kerana tidak mahu ia dijadikan sebagai memorial.

Bagaimanapun, anak-anak mendiang menuduh abang mereka enggan melaksanakan wasiat itu untuk tujuan politik.

Perdana Menteri Lee menafikan tuduhan tersebut tetapi berkata tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap adiknya kerana tidak mahu menjejaskan nama baik keluarga.

Surat dari setiausaha Lee itu berkata artikel TOC itu mengulangi tuduhan palsu dan fitnah. – AFP, 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen