ADA satu penyelesaian buat anda yang tidak mahu terus dibelenggu kenangan lama dan melakukan sesuatu yang merugikan diri seperti bunuh diri.
Dermakan barangan peribadi yang menyebabkan hubungan lama itu terus menghantui diri.
Bukan sahaja untuk kes putus cinta, ia juga untuk membantu menangani kemurungan akibat kehilangan ahli keluarga, haiwan tersayang dan sahabat baik.
Itu adalah konsep asal Pameran Putus Cinta yang bakal berlangsung pada 18 hingga 20 Oktober ini anjuran Persatuan Psikologi Universiti Sunway.
Melalui kempen ini, mereka menerima apa sahaja sumbangan barangan peribadi yang menjadi kenangan cinta atau hubungan yang boleh mengakibatkan seseorang sukar melupakan peristiwa pahit itu.
Pensyarah Psikologi Universiti Sunway Meng Zhen Lim berkata, pameran kali kedua tahun ini bertujuan memberi sokongan moral kepada individu yang mengalami kemurungan.
“Barangan peribadi berbentuk patung beruang, baju kemeja, kasut, rantai, tin bir dan pelbagai lagi yang boleh dikaitkan dengan kisah putus cinta dipamerkan sebagai simbol menghormati kisah sedih mereka,” katanya.
Objektif utama adalah mewujudkan kesedaran mengenai masalah kemurungan akibat pengalaman pahit, membimbing dan membantu individu itu mengatasi kemurungan secara positif, katanya.
Menurutnya, mereka berjaya mengumpul barangan peribadi milik 60 peserta. Ia seterusnya dipertunjukkan di pameran yang diadakan sehari di galeri seni di universiti ini.

“Turut dipamerkan ialah cerita peribadi mereka yang ditulis individu itu sendiri, namun nama dan identiti tidak didedahkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Melalui cara itu, katanya, si penderma mampu meluahkan apa yang terpendam dalam hati selain tidak mengambil langkah drastik yang merugikan seperti bunuh diri.
Jelasnya, ia membantu pengunjung menghayati bahawa putus cinta atau masalah hubungan adalah sesuatu yang menyakitkan.
Selain dirundung kesedihan, individu terlibat juga pasti kecewa dan marah hingga mengalami tekanan perasaan, katanya.
Beliau berharap, lebih ramai individu akan mendermakan barangan peribadi mereka yang akan dipamer seperti Museum of Broken Relationship di Zagreb dan Los Angeles.
Ditanya mengenai reaksi pengunjung dalam pameran tahun lalu, Meng berkata, ada individu yang mengakui wujud persamaan antara diri mereka dengan individu di sebalik barangan itu.
“Ramai menyedari setiap yang dipamerkan memiliki nilainya tersendiri.
“Ada yang lega berikutan mempunyai sokongan individu lain untuk menempuh tempoh masa sukar dan sedih itu,” katanya. – 9 September, 2019.
Komen