Kanak-kanak pun hubungi Befrienders kerana murung


Kalidevi Mogan Kumarappa

Befrienders KL, pertubuhan yang membantu individu mengalami kemurungan dan kecenderungan membunuh diri turut menerima e-mel daripada kanak-kanak seawal usia 10 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 September, 2019.

SELAMA ini pertubuhan sokongan sosial Befrienders Kuala Lumpur hanya menerima e-mel dan panggilan daripada orang dewasa berusia lebih 20 tahun.

Namun kini, pertubuhan yang membantu individu mengalami kemurungan dan kecenderungan membunuh diri ini turut menerima e-mel daripada kanak-kanak seawal usia 10 tahun.

Pengarah Befrienders KL Kenny Lim memberitahu The Malaysian Insight, hal ini menunjukkan semakin ramai kanak-kanak mengalami kemurungan dan kesukaran hidup.

Jelasnya, meskipun kanak-kanak itu tidak menyatakan niatnya untuk membunuh diri akibat kemurungan namun ia dibimbangi akan membawa kepada tindakan merugikan itu.

Katanya, jika tidak dikesan lebih awal, kecenderungan untuk kanak-kanak itu mencederakan diri sendiri atau membunuh diri adalah tinggi selepas meningkat remaja atau dewasa.

Menurutnya, Befrienders KL dapat mengesan bahawa kebanyakan kanak-kanak ini akan mengadu kurang layanan dan kasih sayang ibu bapa.

“Dalam emel kanak-kanak itu, dia menyatakan tidak mengalami sebarang kekurangan dari segi aspek material namun dia kurang kasih sayang dan layanan ibu bapa yang sibuk 24 jam mencari rezeki. 

“Ia mungkin kes terpencil tetapi saya berpendapat ia adalah masalah yang dihadapi kebanyakan kanak-kanak mahupun remaja yang sering terpendam dalam diri mereka.

“Jika ia berlanjutan, ada yang mengambil tindakan membunuh diri,” katanya.

Pengarah Befrienders KL Kenny Lim memberitahu The Malaysian Insight, hal ini menunjukkan semakin ramai kanak-kanak mengalami kemurungan dan kesukaran hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 September, 2019.

Masalah seperti itu dapat dikesan dalam kes seorang remaja 13 tahun yang didapati membunuh diri dalam kes di Pulau Pinang baru-baru ini, katanya.

“Apa yang kita tahu, arwah ada masalah beban kerja rumah dan pelajaran tetapi hanya satu faktor seperti itu tidak akan membawanya untuk membunuh diri.

“Dalam setiap kes bunuh diri, semestinya beberapa faktor yang akan mengakibatkan mereka terdesak untuk bunuh diri.

“Dan hampir 80% daripada mereka yang bunuh diri pernah menunjukkan petanda awal keinginan untuk membunuh diri namun tidak disedari oleh orang di sekeliling mereka,” katanya lagi.

Antara petanda awal individu yang berkeinginan untuk membunuh diri adalah rasa tidak berdaya, sakit yang sukar digambarkan, murung untuk tempoh yang lama, katanya.

Selain itu, individu yang berisiko membunuh diri ini juga hilang minat kepada perkara yang disukai, menyatakan hasrat menamatkan riwayat hidup, agresif dan panas baran atau suarakan rasa dendam.

Katanya, berdasarkan statistik panggilan pada tahun 2018, 37.5% daripada 30,075 panggilan yang diterima Befrienders menyatakan keinginan untuk membunuh diri.

“Hampir separuh yang menghubungi kami juga adalah individu yang mempunyai masalah kesihatan mental seperti bipolar, depresi, masalah hubungan, masalah keluarga dan lain-lain seperti pelajaran dan kewangan,” katanya.

Menurutnya, jumlah aduan yang diterima Befrienders juga meningkat saban tahun dari 19,410 kes pada 2014 hingga 26,927 aduan pada 2017.

Daripada jumlah itu pula, hampir 80% adalah melalui panggilan telefon dan bakinya adalah melalui emel dan tidak ramai yang mengunjungi pejabat mereka di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Kumpulan umur paling besar yang membuat panggilan adalah golongan berusia 21 hingga 29 tahun, seramai 19.7%, diikuti orang dewasa 30 hingga 49 tahun (16.8% peratus).

Kumpulan remaja berusia 15 hingga 20 tahun juga yang memanggil Befrienders juga ramai, 14.3% peratus dan sebahagian besarnya, 40.3% tidak berhasrat untuk menyatakan usia.

“Tahun 2018 adalah tahun pertama kami menerima aduan atau luahan masalah daripada mereka yang berusia 14 tahun dan generasi muda ini lebih selesa untuk mengirim emel daripada membuat panggilan,” katanya.

Jumlah pengadu wanita juga lebih ramai 66.2% berbanding 31.7% lelaki, katanya.

Lim berkata, data dari NGO itu menunjukkan golongan remaja antara paling tinggi berisiko untuk membunuh diri.

“Kebanyakan mereka ada masalah keluarga seperti kurang kasih sayang dari ibu bapa dan itu ternyata ganggu emosi mereka. Ini mungkin bagi sesetengah orang masalah kecil.

“Tapi kita tidak tahu ia penting sampai (golongan remaja ini) boleh terdorong untuk bunuh diri, katanya yang sudah 21 tahun menjadi sukarelawan kepada NGO tersebut,” katanya.

Tambahnya, statistik Befrienders menunjukkan masalah keluarga dan hubungan dengan rakan selain kekurangan pengetahuan mengenai jagaan mental menyumbang kepada tindakan bunuh diri.

“Pengetahuan mengenai kesihatan mental itu kurang, rakan tidak tahu kemurungan ini satu penyakit,” katanya lagi.

Masalah kemurungan yang serius di kalangan anak muda diakui Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata kajian menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalaminya.

Selain itu, Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 juga menunjukkan setiap seorang daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan, dan sekurang-kurangnya 10% daripada 5.5 juta belia pernah terfikir untuk membunuh diri.

Befrienders kini menyediakan sokongan emosi dalam talian, emel dan temujanji untuk menemui sukarelawan mereka secara peribadi selain menemui masyarakat dan seminar secara percuma.

NGO itu kini mempunyai 120 sukarelawan dan dapat menyediakan tempat perlindungan kepada individu yang berkecenderungan untuk membunuh diri.

Dengan itu, individu berkenaan boleh berkongsi masalah tanpa rasa takut untuk dinilai atau dihukum oleh sukarelawan, katanya.

“Setiap sukarelawan juga perlu kesabaran tinggi selain melalui latihan yang komprehensif sebelum layak berurusan bersama mereka yang memerlukan bantuan ini,” katanya.

Setiap panggilan kepada Befrienders kini bebas dari sebarang caj bayaran hasil usahasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan lapan syarikat telekomunikasi.

“Ini memang satu langkah positif kerana mereka yang ingin mendapatkan sokongan emosi, mereka tidak perlu bimbang tentang kos panggilan. Malah, panggilan yang kami terima juga meningkat sejak tarikh berkenaan,” katanya.

Befrienders kini mempunyai sembilan cawangan – di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Muar, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching 

Ia berharap dapat menambah lagi talian dan cawangan di seluruh negara, selain selain meningkatkan bilangan sukarelawan.

Individu yang dirundung masalah boleh meluahkannya dengan menghubungi Befrienders di talian 03-79568144 atau 03-79568145, e-mel [email protected] atau www.facebook.com/BefriendersKL. – 9 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen