LEBIH 100 orang dipercayai maut apabila sebuah pusat tahanan di Yaman diserang tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) semalam.
Pihak tentera gabungan berkata serangan udara itu mensasarkan kemudahan yang menyimpan dron dan peluru berpandu pemberontak Houthi. Tetapi serangan itu memusnahkan bangunan yang dijadikan penjara, kata pemberontak.
“Angka korban mungkin meningkat kerana usaha menyelamat masih berjalan,” kata ICC.
ICRC dikejarkan ke tempat kejadian di bandar Dhamar, bersama pasukan perubatan dan beratus beg mayat.
“Lokasi kejadian pernah dilawati ICRC sebelum ini,” kata ketua delegasi ICC di Yaman, Franz Rauchenstein.
“Bangunan merupakan sebuah kolej kosong yang diubah menjadi pusat tahanan sementara.
“Serangan ini sangat mengejutkan dan menyedihkan kerana banduan dilindungi undang-undang antarabangsa.”
Menurut Rauchenstein dianggarkan lebih 100 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 40 mangsa yang cedera dirawat di hospital di Sanaa.
Beliau berkata anggota ICRC masih berusaha mencari mangsa yang mungkin masih selamat di bawah runtuhan. – AFP, 2 September, 2019.
Komen