INDUSTRI perabot Malaysia kekurangan hampir 200,000 pekerja yang menghalang sektor itu daripada mendapat manfaat perang dagang AS-China yang sedang berlaku, kata pemain industri.
Selain kekurangan pekerja asing, isu pekerja itu tidak selesai itu juga menghalang industri daripada menggunakan sepenuhnya keupayaan untuk merebut peluang keemasan perang dagang itu.
Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yew Chong memberitahu The Malaysian Insight yang tidak ada kemajuan dalam permohonan mereka untuk mendapatkan pekerja asing.
Katanya, majlis menghantar permohonan untuk mendapatkan lebih pekerja asing kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada awal Ogos.
“Tidak ada jawapan. Ramai sangat orang bertanggungjawab dalam isu itu. Kami sedang kejar mereka. Mereka akan semak permohonan kami,” katanya.
Presiden Persatuan Perabor Muar Candice Lim pula berkata tempahan melimpah masuk dari AS disebabkan perang dagang itu.
“Saya harap kerajaan akan benarkan kami ambil pekerja asing. Jangan bazirkan peluang baik ini,” katanya.
Jelasnya, China juga menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan kerajaan perlu mengambil berat isu pengambilan pekerja asing ini.
Ada syarikat China, katanya, yang sedang mencari rakan kerjasama dengan syarikat tempatan.
“Orang Amerika tak mahu beli perabot dari China. Mereka mungkin ke Malaysia untuk bekalan dan eksport Malaysia ke AS akan meningkat.”
Tempahan di syarikat perabot Vietnam pula sudah penuh, katanya lagi, keadaan ini menyebabkan syarikat AS datang ke Malaysia untuk mencari bekalan.
Jelasnya, syarikat China pula datang ke Malaysia kerana kelebihan bahasa serupa.
Katanya, industri sangat berharap kerajaan boleh menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dengan pengambilan pekerja asing secepat mungkin. Tambahnya, persatuan juga sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan. – 2 September, 2019.
Komen