SEORANG pelarian Rohingya- yang keempat- ditembak mati, kata polis Bangladesh hari ini selepas keganasan tercetus disebabkan pembunuhan seorang pegawai parti pemerintah.
Keganasan tercetus sejak beberapa minggu lepas di kem pelarian di Bangladesh, di mana hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal selepas melarikan diri dari Myanmar.
Sekurang-kurangnya lima lelaki Rohingya terbunuh dalam pergaduhan di kawasan itu- didakwa kerana keganasan geng- sementara seorang pegawai Liga Awami ditembak di kepala pada Ogos lalu di kem Jadimura di sempadan bandar Teknaf.
Polis menuduh pembunuhan Omar Faruk dilakukan pembunuh upahan Rohingya, dan telah menembak mati tiga pelarian sejak beberapa minggu lepas kerana tragedi itu.
Kematian terbaru melibatkan Nur Mohammad, 36, yang didakwa pegawai sebagai ketua penjenayah Rohingya yang tiba di Bangladesh pada 1992 dan beroperasi di kawasan bukit sekitar kem pelarian itu.
“Dia ditahan kerana pembunuhan Farouk semalam. Kami bawa dia ke tempat simpanan senjatanya di bukit apabila rakan-rakannya menembak polis,” kata jurucakap polis Ikbal Hossain kepada AFP.
“Kami tembak balik dan menemui mayat Mohammad dipenuhi peluru.”
Kumpulan hak asasi sebelum ini menuduh polis Bangladesh membunuh tahanan.
Ratusan penduduk tempatan yang tinggal berhampiran kem Jadimura menyerbu masuk kem itu selepas Faruk dibunuh, memusnahkan dan merompak puluhan kedai dan rumah pelarian.
Polis berkata mereka sudah memperketat kawalan keselamatan di kem itu, tetapi Suruhanjaya Eropah berkata ramai pelarian lari dari Jadimura dan berlindung di kem lain selepas keganasan itu.
Usaha kemanusiaan agensi antarabangsa juga terganggu, menjejaskan hampir 100,000 pelarian, kata suruhanjaya itu.
Pemimpin Rohingya Mohammad Nor memberitahu AFP yang keadaan kem tegang dan pelarian “hidup ketakutan”.
Kejadian terbaru itu berlaku selepas usaha kedua menghantar balik sekitar 740,000 pelarian yang melarikan diri pada 2017 daripada keganasan tentera Myanmar gagal.
Dengan kematian Mohammad, sekurang-kurangnya 34 pelarian Rohingya dibunuh pasukan keselamatan Bangladesh sejak 2017, kata polis. – AFP, 1 September, 2019.
Komen