Lembaga Disiplin Umno siasat Hishammuddin


SM Amin

Hishammuddin Hussein sedang disiasat Umno kerana pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2019.

LEMBAGA Disiplin Umno sedang menjalankan siasatan keatas bekas naib presiden parti itu Hishammuddin Hussein atas aduan salah laku.

Pengerusi Lembaga itu Mohamed Apandi Ali yang mengesahkan siasatan tersebut berkata perincian mengenainya akan dimaklumkan apabila siasatan selesai.

“Macam siasatan polis, perkara itu sulit. Saya boleh sahkan ada siasatan. Saya tidak komen dengan terperinci sehingga siasatan selesai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siasatan itu dikaitkan dengan pertemuan Hishammuddin dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Julai.

Pertemuan itu menimbulkan pelbagai kritikan di kalangan pemimpin Umno yang melihatnya sebagai tindakan yang membelakangkan parti.

Mengulas lanjut perkara itu, Apandi berharap semua pihak memberi kepercayaan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyelesaikan siasatan siasatan dan tidak membuat sebarang kesimpulan awal.

Kes itu juga akan ditutup sekiranya didapati tiada apa-apa pelanggaran disiplin, katanya lagi.

“Kita melangkaui politik. Lembaga Disiplin ini macam hakim dan kita tidak main politik. Kita siasat tidak kira siapa.

“Bila kita siasat, tiada sebarang pelanggaran apa-apa, habis begitu sahajalah. Apa semua orang hendak (melatah),” katanya.

Apandi dijadualkan mengadakan sidang media pada awal bulan lalu mengenai siasatan ke atas pemimpin dan ahli parti yang didakwa tidak lagi sehaluan dengan Umno tetapi ditangguhkan.

Mengulas perkara itu, Apandi berkata sidang media berkenaan bukan melibatkan Hishammuddin tetapi mengenai individu yang telahpun dikenakan tindakan.

“Sidang media sebelum ini yang ditunda pun bukan hendak bercakap pasal Hishammuddin tetapi saya hendak huraikan statistik, berapa orang yang kita sudah buang sebagai ahli Umno, yang langgar disiplin.

“Lembaga Disiplin buat kerja. Banyak kita sudah ambil tindakan, ramai sudah kita buang cuma kita tidak heboh sahaja. Tetapi semua terus buat kesimpulan saya hendak isytihar tentang Hishammuddin,” ujarnya.

Awal bulan lalu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah tampil menggesa pemimpin parti mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan ahli parti yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.

Tegas Tengku Razaleigh, kumpulan itu tidak boleh dibiarkan bergerak bebas dalam parti kerana akan merencatkan usaha untuk memulih dan memperkukuhkan parti yang sedang dibuat ketika ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Mengulas isu sama waktu itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menyerahkan kepada Apandi untuk mengambil tindakan lanjut.

Umno pada waktu itu juga menegaskan hanya Zahid sahaja berhak mewakili parti untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti lain. – 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen