PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada hari Ahad memperbaharui ikrarnya untuk memperluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat dalam usaha mendapatkan sokongan golongan kanan menjelang pilihan raya 17 September depan.
Netanyahu dan parti Likud telah berusaha untuk memaksimumkan pengundinya daripada golongan kanan lain yang mempunyai hubungan rapat dengan gerakan penempatan Yahudi berpengaruh itu.
“Dengan bantuan Tuhan, kita akan menerapkan kedaulatan Yahudi di semua komuniti, sebagai sebahagian dari Tanah Kaum Israel, dan sebagai bahagian dari negara Israel,” katanya kepada hadirin di penempatan Tebing Barat, Elkana.
Netanyahu memberikan janji yang sama menjelang pilihan raya lalu pada bulan April, tetapi keputusannya menyebabkan beliau tidak dapat membentuk gabungan pemerintah yang baik dan memilih untuk membuat pilihan raya baru pada 17 September.
Israel menduduki Tebing Barat ketika Perang Enam Hari 1967.
Penempatan Israel dilihat sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan sebagai penghalang utama keamanan sejak mereka berada di tanah yang dianggap sebagai milik warga Palestin.
Pengambilan secara besar-besaran menyebabkan Palestin buntu untuk merealisasikan cita-cita negara mereka.
Saeb Erekat, setiausaha agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, menyeru komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan selepas kenyataan Netanyahu tersebut.
“Mereka yang mendakwa bimbang selepas setiap pengumuman penempatan Israel harus menghadapi realiti: PM Israel mengumumkan peluasan tanah di wilayah yang mereka jajah,” tulisnya di Twitter.
“Terdapat tanggungjawab antarabangsa untuk mengenakan sekatan ke atas Israel setelah beberapa dekad jenayah yang sistematik mereka lakukan,” katanya lagi. – AFP, 1 September, 2019.
Komen