MYANMAR berkata tenteranya akan mengadakan perbicaraan mahkamah tentera yang sangat jarang diadakan susulan siasatan kubur besar ditemui di negeri berkrisis Rakhine, dua tahun selepas operasi yang menyebabkan lebih 740,000 Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh.
Pada Februari 2018, Associated Press melaporkan dakwaan terdapat sekurang-kurangnya lima kubur besar Rohingya di kampung Gu Dar Pyin, Rakhine- dakwaan yang dinafikan kerajaan yang mendakwa mayat itu adalah “pengganas”.
Tetapi, laman web tentera semalam berkata siasatan mendapati “kelemahan mengikut arahan” di Gu Dar Pyin, dan mahkamah tentera akan “bertindak selaras dengan prosedur keadilan tentera.”
Tiada butiran lanjut diberikan.
Laporan menyebut keganasan kejam dibuat tentera dan penganut Buddha, yang didakwa menyerang kampung menggunakan senapang, pisau, pemacu roket dan bom tangan sebelum menghumban mayat ke dalam kubur besar dan mencurah asid ke atasnya.
Anggaran diberikan mereka yang terselamat di Bangladesh meletakkan jumlah kematian mencecah ratusan orang, kata laporan.
Pasukan keselamatan mendakwa mereka diserang oleh hampir 500 penduduk kampung, dan bertindak “mempertahankan diri”, menurut media negara itu tahun lepas.
Penyiasat PBB mahukan jeneral Myanmar didakwa kerana genosid kerana menyelia operasi kejam di negeri Rakhine.
Tentera berulang kali menafikan dakwaan itu, menyifatkan operasi 2017 itu adalah tindakan ketenteraan berwajaran dengan serangan ke atas balai polis.
Kumpulan hak berkata tentera tidak berusaha mengheret pihak bertanggungjawab untuk kekejaman itu.
Ia sebelum ini mengakui anggotanya membantu membunuh 10 orang Rohingya di kampung Rakhine pada September 2017.
Empat pegawai dan tiga anggota tentera dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan kerja berat, tetapi pada Mei, seorang pegawai penjara berkata mereka “tidak lagi ditahan”.
Anggota tentera tersebut dipenjarakan kurang berbanding dua wartawan Reuters yang mendedahkan kekejaman itu dan disabitkan bersalah kerana membocorkan rahsia negara.
Mereka dibebaskan dari penjara awal tahun ini selepas menerima pengampunan setelah lebih 500 hari ditahan. – AFP, 1 September, 2019.
Komen