THOMAS Markle, bapa kepada Meghan Markle mengkritik anaknya kerana menjadikan dirinya “seolah-olah tidak wujud” dalam kehidupannya dan menipu bagaimana dirinya membiayai pendidikan di universiti.
Lelaki berusia 75 tahun dan menetap di Mexico itu dalam satu wawancara akhbar British diterbitkan hari ini berkata beliau tidak pernah mendengar berita daripada anggota keluarga diraja itu atau suaminya Putera Harry sejak tidak menghadiri perkahwinan mereka pada 2018.
Beliau memberitahu akhbar Daily Mail yang dirinya berharap menerima gambar cucunya Archie yang dilahirkan awal tahun ini namun setakat ini masih tiada.
“Tidak pernah ada masalah antara saya dan Meghan sehinggalah baru-baru ini. Saya berdiam diri kerana Meghan sedang mengandungkan Archie namun saya bersuara kerana mereka dan bahagian perhubungan awam (PR) terus ketepikan saya dari hidup mereka.
“Kadang kala saya rasa orang fikir saya tak sayangkan anak saya. Saya sayangkannya, saya amat berharap untuk meletakkan gambar Archie dalam bingkai,” katanya yang terlepas menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Istana Windsor kerana masalah kesihatan dan terbabit dalam skandal gambar paparazzi.
Katanya, dia kecewa kerana tidak berpeluang berjumpa dengan cucunya.
“Saya berusaha untuk rapat semula dengan Meghan namun setakat ini tak berjaya.
“Saya hantar sekeping kad menerusi penasihat kewangannya di LA namun tak terima balasan. Saya tak tahu kalau dia menerimanya atau tidak,” katanya.
Dalam wawancara dengan akhbar British itu Thomas juga menjawab dakwaan dibuat Meghan ketika kunjungan diraja ke Fiji tahun lalu bahawa beliau secara peribadi membayar sendiri yuran kolej di Amerika Syarikat (AS).
“Saya minta maaf namun ia tak benar. Saya bayar setiap sen wang tuisyen dan ada penyata bank untuk buktikannya.
“Saya sentiasa jaga tanggungjawab saya sebagai seorang bapa. Komen Meghan tentang bagaimana dia memasuki kolej amat menyakitkan hati saya,” katanya. – AFP, 1 September 2019.
Komen