Tentera Afghanistan berjaya halau Taliban di Kunduz


Selepas pertempuran sengit dengan bantuan Amerika Syarikat, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan Nasrat Rahimi memberitahu AFP pada hari Ahad bahawa bandar itu kini bebas daripada Taliban. – Gambar EPA, 1 September, 2019.

PASUKAN keselamatan Afghanistan berjaya menumpaskan serangan Taliban di Kunduz selepas sehari kumpulan pemberontak itu menyerang bandar timur Afghanistan tersebut. 

Serangan bertubi-tubi pada Sabtu menyaksikan para pejuang Taliban cuba memasuki Kunduz dari beberapa arah dalam usaha untuk menguasai bandar penting berhampiranm sempadan Tajik.

Selepas pertempuran sengit dengan bantuan Amerika Syarikat, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan Nasrat Rahimi memberitahu AFP pada hari Ahad bahawa bandar itu kini bebas daripada Taliban.

“Bandar Kunduz telah dibersihkan, Taliban dihalau dari kawasan yang mereka kuasai. 

“Keadaan kini kembali normal di bandar itu,” kata Rahimi.

Bagaimanapun jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid membantah dakwaan tersebut, mendakwa pemberontak masih menguasai kedudukan mereka.

“Propaganda musuh tentang mengusir mujahidin atau membunuh mereka tidak benar,” katanya kepada wartawan.

Serangan itu berlaku walaupun perunding AS dan pemberontak masih berunding di Doha yang akan menyaksikan ribuan tentera Amerika meninggalkan Afghanistan sebagai balasan bagi jaminan keselamatan. – AFP, 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen