2 joki wanita Australia maut jatuh kuda


Kematian dua joki wanita dalam tempoh dua hari mengejutkan komuniti lumba kuda Australia. – Gambar EPA, 1 September, 2019.

KOMUNITI perlumbaan kuda Australia sedang berduka pada Ahad selepas kematian dua joki wanita dalam tempoh dua hari susulan insiden di trek.

Melanie Tyndall, 32, meninggal dunia selepas jatuh dari kudanya Restless ketika perlumbaan ketiga di Fannie Bay Darwin, di utara negara itu, pada Sabtu.

Beliau dikejarkan ke hospital tetapi doktor tidak dapat menyelamatkannya, kata Kelab Darwin Turf dalam satu kenyataan.

“Melanie adalah ahli keluarga lumba kuda Wilayah Utara yang dihormati dan pemergiannya yang menyedihkan dirasai oleh ramai orang dalam industri ini,” kata ketua Kelab Darwin Turf, Brett Dixon.

Kematiannya itu sehari selepas joki perantis Mikaela Claridge, 22, meninggal dunia selepas tercampak dari kudanya ketika berlatih di Melbourne.

Ketua Eksekutif Racing Victoria, Giles Thompson menyifatkannya sebagai “berita tragis” yang mengejutkan industri.

“Mikaela adalah pelumba muda berbakat yang sedang meneruskan kerjaya dalam sukan yang dicintainya,” kata beliau.

Sekurang-kurangnya 20 joki maut di Australia sejak 2000, menurut National Jockeys Trust, dengan kira-kira 200 cedera setiap tahun. – AFP, 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen