Tak rai Hari Sabah, Kitingan kecam Warisan


Jason Santos

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan berkata, pemimpin Warisan sebelum ini pernah bersumpah untuk tidak meraikan hari kemerdekaan Tanah Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2019.

PARTI Warisan Sabah telah menurut perintah Putrajaya apabila gagal merai Hari Kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos tetapi meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-62 semalam, kata Jeffrey Kitingan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu berkata pemimpin Warisan bersumpah untuk tidak meraikan kemerdekaan Malaysia sebelum mengambil kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tetapi selepas pilihan raya dan kini memegang jawatan menteri Persekutuan, mereka tidak meraikan Hari Sabah.

“Sebaliknya mereka meraikan Kemerdekaan Ke-62 Malaysia,” katanya. 

Beliau sebelum ini berkata walaupun jatuh pada 31 Ogos, Hari Sabah tidak boleh dikelirukan dengan Hari Kemerdekaan Malaysia dan harus diraikan secara berasingan.

Kitingan mempersoalkan sama ada kerajaan Sabah boleh berdiri sendiri dan berjuang untuk mengembalikan hak Sabah.

Beliau berkata mereka boleh berdiam diri dan mengekalkan kedudukan dalam Persekutuan sama seperti apabila Sabah berada di bawah Barisan Nasional (BN).

“Apa yang mengejutkan bila Pakatan Harapan mengamalkan apa yang BN lakukan dan minta Sabah serta Sarawak meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dan bukannya Hari Malaysia pada 16 September,” katanya.

Beliau menambah 16 September adalah Hari Kebangsaan untuk Malaysia dan bukan pada 31 Ogos kerana tarikh itu tidak bermakna untuk wilayah Borneo khususnya Sarawak manakala Sabah mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1963.

“Dengan meraikan 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, siapakah kita? Rakyat Malaysia atau orang Melayu?

“Meraikan 31 Ogos bermakna menghapuskan sejarah unik Sabah dan Sarawak serta menjadikan sejarah pembentukan Malaysia tidak bermakna,” katanya. – 1 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen