SEKURANG-KURANGNYA lima orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan melibatkan 21 mangsa di Texas, Sabtu lalu, kata polis.
“Terdapat sekurang-kurangnya 21 mangsa, 21 mangsa tembakan dan sekurang-kurangnya lima orang mati pada masa ini,” kata Ketua Polis Odessa Michael Gerke kepada pemberita.
Tiga pegawai polis cedera dalam kejadian yang bermula daripada sekatan trafik, katanya.
Suspek ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis.
Kejadian itu berlaku kurang sebulan selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 22 orang di bandar Texas, El Paso, 300 kilometer (480 kilometer) di barat Odessa.
Polis di Odessa sebelum ini melaporkan “subjek (kemungkinan dua oran) kini sedang memandu di sekitar Odessa dan menembak secara rawak kepada orang ramai.”
Mereka menambah “suspek baru sahaja merampas trak pembawa surat AS” dan menggesa orang ramai menjauhi jalan dan lebih berhati-hati.
Beberapa tembakan dilepaskan di lebuhraya yang menghubungkan Odessa dan Midland, menyebabkan beberapa kereta berlubang disebabkan kesan peluru.
Presiden Donald Trump menulis beliau diberi taklimat oleh Peguam Negara Bill Barr.
“FBI dan Penguatkuasaan Undang-undang terlibat sepenuhnya,” kata Trump.
Insiden terbaru itu berlaku selepas tembakan beramai-ramai di pasaraya Walmart El Paso.
Dalam kes itu, para pegawai menahan Patrick Crusius, 21, seorang penduduk Texas berkulit putih yang memberitahu polis dia mensasarkan “orang Mexico,” menurut waran tangkap yang diterbitkan oleh media AS. – AFP, 1 September, 2019.
Komen