SEORANG lelaki menggunakan pencucuk daging dan pisau mengamuk di bandar Lyon di Perancis pada Sabtu, menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun terbunuh dan lapan lagi cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
Sumber polis mengatakan suspek adalah pencari suaka Afghanistan, yang tidak diketahui polis dan perkhidmatan perisikan.
Saksi yang menyaksikan kejadian di Villeurbanne, pinggir bandar Lyon, menyifatkan serangan itu sebagai satu kegilaan.
“Ada seorang lelaki di 57 (bas bas) yang mula menghunus pisau ke semua arah,” kata seorang gadis muda yang bajunya terdapat kesan darah.
“Dia berjaya menikam, merobek perut seseorang,” katanya.
“Dia menikam seorang lelaki di kepala, memotong telinga seorang wanita dan wanita itu sedang tenat di perhentian bas dan tidak seorang pun datang membantu,” tambahnya sambil menangis.
Dia akhirnya berjaya membawa wanita itu masuk ke dalam bas, menutup pintunya dan melarikan diri dari tempat kejadian.
“Darah berada di mana-mana,” katanya.
Daripada lapan orang yang cedera dalam serangan itu, tiga berada dalam keadaan kritikal, kata pejabat pendakwa. Paramedik merawat 20 orang lagi di tempat kejadian kerana terkejut.
Datuk Bandar Lyon Gerard Collomb, bekas menteri dalam negeri, melawat lokasi serangan itu tetapi dalam komen kepada wartawan tidak menjawab punca kejadian namun mengatakan suspek bertindak secara tiba-tiba, katanya.
Datuk Bandar Villeurbanne, Jean-Paul Bret, melawat mereka yang berada di tempat kejadian dan kakitangan keselamatan di stesen metro berdekatan yang berjaya menumpaskan suspek ketika dia cuba melarikan diri.
Polis menangkap penyerang disyaki dan menahannya kerana disyaki membunuh serta cubaan membunuh, kata pejabat pendakwa Lyon kepada AFP.
Punca serangan itu masih belum jelas. Pejabat pendakwa anti-keganasan negara sudah dimaklumkan tetapi belum mengambil alih kes itu buat masa ini.
Sementara itu, Marine Le Pen, pemimpin berhaluan kanan National Rally menulis di Twitter mengatakan “kelemahan dan kelalaian dasar migrasi kita secara serius mengancam keselamatan rakyat Perancis”.
Kumpulan yang mewakili masjid di wilayah ini juga mengeluarkan satu kenyataan mengutuk pembunuhan tersebut.
Lyon, bandar ketiga di Perancis, sebelum ini masih tidak disentuh oleh gelombang serangan pengganas yang membunuh 251 orang di Perancis sejak 2015. – AFP, 1 September, 2019.
Komen