Australia pindah keluarga Sri Lanka ke pusat tahanan terpencil


Kejiranan keluarga itu dari kawasan pendalaman Queensland berkempen agar mereka dibenarkan tinggal di Australia.– Gambar Facebook, 31 Ogos, 2019.

SEBUAH keluarga Tamil termasuk dua kanak-kanak kelahiran Australia, dipindahkan ke pusat tahanan di pulau terpencil berdekatan kawasan laut Indonesia walaupun mahkamah menyekat kerajaan daripada menghantar pulang mereka ke negara asal.

Keluarga itu yang berjuang untuk tinggal di Australia kerana bimbang dihukum di Sri Lanka, dipindahkan ke pusat tahanan di Pulau Krismas malam tadi, kata peguam Carina Ford di Melbourne.

Pulai itu merupakan wilayah Australia yang terletak kira-kira 350 kilometer dari selatan Pulau Jawa. Pusat tahanan itu sudah ditutup selama bertahun-tahun.

“Saya tidak faham motifnya (pemindahan),” kata Ford.

“Keluarga itu berada dalam keadaan tertekan.”

Kes keluarga itu menjadi pertikaian baharu berhubung dasar imigrasi kerajaan Australia.

Dasar kontroversi itu membolehkan pihak berkuasa mengusir pelarian yang tiba menaiki bot dan menempatkan mereka di pusat tahanan di pulau tersebut.

Kejiranan keluarga itu dari kawasan pendalaman Queensland berkempen agar mereka dibenarkan tinggal di Australia.

Menteri Dalam Negeri Peter Dutton bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang komen.

Sebelum ini, Dutton mengarahkan keluarga itu dihantar pulang ke Sri Lanka tetapi hakim sebuah mahkamah mengarahkan sekatan deportasi itu sebelum pesawat yang membawa mereka berlepas.

Dua kanak-kanak keluarga itu, Kopika dan Tharunicca, lahir di Australia tetapi tidak memiliki kerakyatan dan tidak pernah ke Sri Lanka. – AFP, 31 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen