PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada hari Jumaat mengeluarkan gambar mengenai kegagalan pelancaran roket Iran dan mengatakan bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai kaitan dengannya.
Tehran tidak memberikan komen rasmi mengenai foto udara yang menunjukkan roket meletup di Pusat Angkasa Semnan di utara Iran.
Trump menghantar gambar resolusi tinggi lokasi, dengan penjelasan yang menunjukkan kenderaan yang rosak dan pelancar roket, mengatakan ia melibatkan roket satelit Safir Iran.
Insiden itu tampil selepas beberapa bulan hubungan tegang di antara Iran dan Washington. Pada tahun lepas Trump secara sepihak mengundurkan diri daripada perjanjian antarabangsa pada tahun 2015 yang meletakkan had ke atas aktiviti nuklear Tehran sebagai pertukaran mengangkat sekatan ke atas negara itu, beliau bagaimanapun menaikkan semula penalti kewangan ke atas republik Islam tersebut.
“Amerika Syarikat tidak terlibat dalam kemalangan semasa persiapan pelancaran akhir Safir SLV di Tapak di Pusat Angkasa Semnan di Iran,” kata Trump dalam sebuah hantaran Twitter.
Gambar satelit awam juga menunjukkan wujud letupan roket pada pad pelancarnya.
Tehran dipercayai telah merancang percubaan ketiga untuk menaikkan satelit ke ruang angkasa, selepas dua pelancaran satelitnya pada bulan Januari dan Februari gagal. – AFP, 31 Ogos, 2019.
Komen