Taliban serang bandar Kunduz di Afghanistan 


Militan Taliban mengaku menguasai beberapa bangunan di sekitar bandar Kunduz. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2019.

PEMBERONTAK Taliban pada hari Sabtu melancarkan serangan di Kunduz, sebuah bandar penting yang strategik di utara Afghanistan yang sering menjadi sasaran sejak 2015.

Serangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat dan Taliban masih meneruskan rundingan di Doha yang akan menyaksikan ribuan tentera Amerika meninggalkan Afghanistan sebagai balasan bagi jaminan keselamatan.

Pihak berkuasa berkata serangan itu bermula kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan.

Serangan Taliban itu dilaporkan dilancarkan dari beberapa arah.

“Setakat ini, lapan pejuang Taliban terbunuh di timur dan barat Kunduz,” kata Sayed Sarwar Hussaini, jurucakap polis Kunduz.

“Pertempuran masih berlangsung, pasukan komando juga cuba menangkis serangan Taliban tersebut.”

Seorang wartawan AFP di Kunduz berkata tembakan senjata  api boleh didengari di empat kawasan di bandar itu.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa bahawa serangan pada Sabtu telah mengakibatkan penguasaan di beberapa bangunan penting.

“Taliban menyerang bandar Kunduz dari beberapa arah pagi ini, kami berada di bandar sekarang yang menawan bangunan kerajaan satu demi satu,” katanya kepada pemberita. – AFP, 31 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen