Apa erti Merdeka anda?


Jahabar Sadiq

Kemerdekaan negara dicapai dengan perjuangan getir generasi terdahulu yang sedar bahawa tanah air harus mempunyai kedaulatan tersendiri tanpa pengaruh apa-apa kuasa luar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2019.

APA makna Merdeka anda? Gembira? Dukacita? Murung durja? Sebal? Marah? Biasa-biasa saja? 

Kalau kita lihat perbualan di ruang siber Malaysia, kita dapat rasa tempias marah dan kecewa, tetapi kalau kita lihat perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya pagi tadi, yang kita rasa ialah senyum tawa dan hati yang berbunga-bunga.

Memang ada banyak perkara yang boleh kita marah. Namun ada banyak juga perkara yang sepatutnya menggembirakan kita. 

Ya, hari yang kelam kerana keputusan kes mahkamah terhadap Sisters in Islam, kerana seorang pendakwah dalam pelarian yang tiada budi bahasa, kerana mereka yang merasakan negara ini hanya milik satu kaum dan banyak lagi isu yang menaikkan darah kebanyakan kita.

Tetapi hari ini langit di Lembah Klang luar biasa cerah, setidak-tidaknya bagi mereka yang meninggalkan media sosial untuk meraikan hari Malaya mendapat kemerdekaannya 62 tahun lalu.

Orang kata Malaya mendapat kemerdekaannya dari dulang emas, untuk memerintah sendiri dan bukan lagi diperintah oleh penjajah yang menjarah kekayaan bijih timah dan getah untuk membangunkan empayarnya.

Namun kemerdekaan itu dipertahankan dengan darah, keringat dan air mata, seperti yang diingatkan oleh perajurit ini.

Cerita mereka tidak semua kita tahu atau ingat, bahawa kita tidak menghargai apa yang ada sebaliknya sibuk dengan isu yang memisahkan kita dan pada masa sama, mengharapkan kerajaan menyelesaikan isu yang ada untuk kita.

Itu tidak akan berlaku di Malaysia yang rapuh seperti ini.

Sesetengah daripada kita gembira, sesetengah yang lain tidak gembira. Begitulah keadaannya, sentiasa.

Akan selalu ada ketikanya apabila kita rasa tidak mahu mengibarkan bendera kerana Malaysia ini makin hari sudah bukan lagi Malaysia yang kita kenal dan cinta.

Akan selalu ada ketikanya apabila kita putus asa dan kecewa dengan rakyat dan pemimpin kerana Malaysia ini makin hari sudah bukan lagi Malaysia yang kita kenal dan cinta.

Kita tidak memilih untuk jadi warga Malaysia. Kita lahir di sini, tidak seperti sesetengah orang yang mahu jadi sebahagian daripada tanah air ini.

Namun kita boleh memilih untuk jadi rakyat Malaysia yang terbaik dengan melaksanakan tanggungjawab menjadikan negara ini lebih baik.

Kita boleh dan sepatutnya memastikan kerajaan jujur. Kita boleh dan sepatutnya memastikan Malaysia akan jadi lebih baik. Kita boleh dan sepatutnya berganding bahu membentuk Malaysia yang kita mahu.

Tanggungjawab kita tidak bermula dan berakhir di peti undi. Ia satu proses yang berterusan, bermula dengan satu undi dan seterusnya memastikan janji dikota dan tiada sesiapa yang diketepikan.

Tiada siapa boleh merampas Malaysia daripada kita, kecuali diri kita sendiri.

Rayakanlah Merdeka dan Hari Malaysia yang akan datang 16 hari lagi.

Berusahalah ke arah Malaysia yang sepatutnya.

Demi kita semua, rakyat Malaysia. – 31 Ogos, 2019.

* Jahabar Sadiq adalah pengasas The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen