MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri Australia berkata keluarga Sri Lanka yang melarikan diri daripada perang saudara tidak layak mendapatkan suaka politik, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.
Mahkamah pada Jumaat pagi bersetuju melanjutkan injunksi terhadap pengusiran mereka sehingga Rabu dan dalam tempoh itu keluarga terbabit akan mengemukakan rayuan agar dibenarkan terus tinggal di Australia.
Mengulas kes itu, menteri berkenaan Peter Dutton berkata sudah tiba masanya untuk mereka dihantar pulang.
“Saya harap mereka menerima hakikat mereka bukan pelarian, tidak berhak untuk mendapat perlindungan di negara kita,” katanya kepada televisyen Nine Network.
Pasukan Pengawal Sempadan Australia (ABF) pada Khamis malam cuba untuk mengusir Tamil Priya, suaminya Nadesalingam dan dua anak perempuan mereka yang dilahirkan di Australia.
Pasangan itu tiba di Australia menaiki bot secara berasingan enam tahun lalu ketika perang saudara tercetus di Sri Lanka.
Injuksi oleh Mahkamah Persekutuan yang dikeluarkan pada saat akhir memaksa pesawat membawa keluarga itu dari Melbourne ke Sri Lanka, mendarat di Darwin.
“Mereka datang ke sini dengan bot dan jelas mereka tidak patut terus menetap di sini. Kita telah bawa masuk banyak keluarga tetapi dalam kes ini Mahkamah Tinggi mendapati mereka bukan pelarian.
“Kami akan bantu agar mereka dapat pulang ke kampung halaman di Sri Lanka,” katanya.
Peguam Angel Aleksov yang mewakili keluarga itu berhujah, anak perempuan pasangan itu berhak mendapat perlindungan di Australia kerana mereka dilahirkan di negara ini.
Christopher Tran yang mewakili Menteri Imigresen David Coleman dan Jabatan Imigresen berkata di mahkamah, pengusiran mereka dari Australia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. – Bernama, 30 Ogos, 2019.
Komen