BERIBU orang menyertai protes besar-besaran di Pakistan hari ini, membantah tindakan kerajaan India membatalkan status khas Kashmir.
Peserta bantahan membunyikan siren tengah hari tadi, diikuti nyanyian lagu kebangsaan Pakistan dan Kashmir manakala pemandu menghentikan kenderaan selama beberapa minit sebagai tanda solidariti.
Di Islamabad, beribu orang berkumpul di Constitution Avenue di depan bangunan pejabat kerajaan mendengar Perdana Menteri Imran Khan melaungkan ikrar untuk berjuang demi Kashmir sehingga wilayah itu bebas.
“Kita akan berdiri bersama Kashmir sehingga ke hujung nyawa,” kata Imran.

Ini merupakan protes pertama yang selepas ini akan dijalankan setiap minggu sehingga Imran ke New York bulan depan bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berjanji akan membangkitkan isu Kashmir pada perhimpunan tersebut.
Hubungan Pakistan dan India tegang selepas Modi menghapuskan status khas di wilayah bergolak Kashmir dan meletaknya di bawah pemerintahan Delhi. – AFP, 30 Ogos, 2019.
Komen